11 android box bernilai RM7,500 dirampas - Utusan Malaysia

11 android box bernilai RM7,500 dirampas

KPDNHEP merampas 11 unit alat teknologi penstriman menerusi serbuan di dua premis di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 11 unit alat teknologi penstriman (android box) bernilai lebih RM7,500 menerusi serbuan di dua premis di Kuala Lumpur pada 15 September lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasanya, Azman Adam berkata, serbuan di dalam sebuah pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang itu dilakukan hasil risikan anggota penguat kuasa sekali gus menahan dua lelaki warga tempatan berusia lingkungan 20-an yang mengaku sebagai pemilik dan pekerja di premis terbabit untuk siasatan lanjut.

“Kedua-dua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 43AA Akta Hak Cipta 1987 iaitu melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya dengan menjual suatu teknologi penstriman.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM 200,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, KPDNHEP menambah baik Akta Hak Cipta 1987 melalui pindaan kepada Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang berkuat kuasa mulai 18 Mac lalu.

Azman berkata, pindaan itu memberi penekanan dalam usaha pihak kementerian membanteras pelanggaran hak cipta secara dalam talian atau cetak rompak digital dengan lebih berkesan.

“Kementerian ingin mengingatkan kepada semua peniaga agar tidak menjual alat teknologi penstriman seumpama ini dan penguatkuasaan berterusan dilakukan kerana alat teknologi penstriman ini berupaya berlaku pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya hak cipta yang dilindungi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN