Warga emas rugi RM10,000 barang kemas dilarikan peragut - Utusan Malaysia

Warga emas rugi RM10,000 barang kemas dilarikan peragut

MOHD. Razi Rosli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Seorang warga emas kerugian kira-kira RM10,000 apabila barang kemas miliknya diragut lelaki yang tidak dikenali di hadapan rumahnya di Kampung Batu Hitam Dalam, di sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu mengakibatkan mangsa yang berusia 77 tahun mengalami lebam di tangan kiri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Mohd. Razi Rosli berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian, mangsa didatangi seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang berdiri di hadapan jeriji rumah sambil bertanya sama ada mengenalinya atau tidak.

Menurutnya, suspek kemudian bertindak menarik tudung mangsa sebelum meragut rantai leher dan rantai tangan milik warga emas berkenaan.

“Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Waja berwarna perak. Bagaimanapun mangsa tidak sempat melihat nombor pendaftarannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd. Razi memberitahu, ketika kejadian cucu mangsa berada di dalam rumah dan tidak menyedari kejadian itu.

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Tanah Merah berhubung kejadian itu.

“Sebaik menerima laporan melancarkan gerakan mengesan suspek untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya