Wan Zahidi mahu teruskan legasi Harussani

Wan Zahidi mahu teruskan legasi Harussani

WAN Zahidi Wan Teh (kiri) yang memulakan tugas sebagai Mufti Perak bersama Zamri Hashim di  pejabatnya Kompleks Islam Darul Ridzuan di Ipoh, Perak, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Datuk Wan Zahidi Wan Teh memulakan tugas sebagai Mufti Perak hari ini dengan tumpuan untuk mengembangkan lagi syiar Islam selain meneruskan legasi Allahyarham Tan Sri Harussani Zakaria.

Wan Zahidi berkata, beliau terharu apabila diberi kepercayaan menggantikan tempat Allahyarham Harussani, seorang sahabat yang telah lama dikenalinya.

Katanya, Allahyarham Harussani menjalankan tugas dengan baik dan beliau sedia mengikut jejak langkah khidmat cemerlang dalam bidang agama yang telah dilaksanakan.

“Arwah adalah sahabat saya. Saya kenal lama iaitu sebelum beliau jadi Mufti Perak lagi, masa itu kita aktif dalam ceramah-ceramah. Saya sering berceramah dengan beliau dan dia sahabat saya. 

“Saya rasa terharu dan Insya-Allah akan sambung misi dan visi yang telah arwah jalankan. Beliau telah menjalankan tugasnya dengan hebat di Perak, begitu lama dan pemikirannya yang begitu agresif.

“Beliau seorang yang berani menyuarakan pandangan-pandangan apabila melihat sesuatu perkara perlu disuarakan demi mempertahan Islam,  saya akan mengikut langkah beliau,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada hari pertama bertugas sebagai Mufti Perak di pejabatnya di  Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim.

Wan Zahidi yang berasal dari Gerik menzahirkan rasa bersyukur kerana dapat kembali ke Perak berkhidmat dalam bidang agama.

Menurutnya, ini kali ketiga beliau berkhidmat di Perak selepas menjadi pensyarah di Politeknik Ungku Omar (PUO) Ipoh pada tahun 1975 dan  Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan pada 2002.

“Saya berasal dari Gerik, menerima biasiswa melanjutkan pelajaran ke Mesir pun dari kerajaan negeri Perak, ditaja Kerajaan Negeri Perak.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri dan menjunjung kasih ke bawah duli tuanku Sultan Perak di atas kepercayaan baginda untuk saya kali kedua memimpin institusi agama di Perak.

“Ini kali kedua saya menerima watikah pelantikan daripada baginda tuanku. Sebelum ini untuk jawatan Rektor  Kolej Islam Darul Ridzuan saya terima watikah daripada tuanku semasa itu baginda Raja Muda,” katanya.

Wan Zahidi memiliki pengalaman lebih 40 tahun dalam perkhidmatan awam dan bidang akademik khususnya dalam pentadbiran Islam dan pernah menjawat pelbagai jawatan penting.

Antaranya sebagai Pakar Perunding Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM), Mufti Wilayah Persekutuan,  Felo Kehormat Kanan Universiti Islam Malaysia dan kini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Harussani meninggal dunia pada 30 Mei 2021 pada usia  82 tahun setelah menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini selepas disahkan positif Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya