Tiga pelajar didakwa dibuli, dipukul senior 

Tiga pelajar didakwa dibuli, dipukul senior 

HANYAN RAMLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Tiga pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di daerah ini mendakwa menjadi mangsa buli dan dipukul sekumpulan pelajar lain selepas mengadu senior mereka memiliki rokok elektronik kepada guru di sekolah itu, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, salah seorang mangsa berusia 14 tahun mengalami cedera parah hingga pecah gegendang teliga kanan selain cedera di bahagian badan.

“Dua lagi rakannya berusia 13 dan 15 tahun mengalami cedera ringan dan lebam di beberapa anggota badan akibat dipukul. 

“Ketiga-tiga mangsa menerima rawatan di Hospital Kemaman sebagai pesakit luar,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.  

Hanyan berkata, mangsa yang berusia 14 tahun membuat laporan polis bersama ahli keluarganya di Balai Polis Chukai pada Sabtu.  

“Dua lagi mangsa turut membuat laporan polis secara berasingan pada hari sama,” ujarnya.

Hanyan berkata, susulan itu seramai 11 pelajar sekolah tersebut berusia 13 hingga 16 tahun telah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian.  

“Kesemua mereka ditahan reman selama empat hari sehingga 1 September ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat  di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 325 kanun yang sama kerana mendatangkan kecederaan parah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN