Tiga lelaki Orang Asli didakwa kes bunuh gadis 14 tahun

Tiga lelaki Orang Asli didakwa kes bunuh gadis 14 tahun

TIGA lelaki Orang Asli dibawa ke Mahkamah Majistret Pekan, atas kesalahan membunuh remaja perempuan di Bukit Ibam, Muadzam Shah di Rompin, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Sepupu mangsa antara tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pekan di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang gadis Orang Asli berusia 14 tahun pada 20 Ogos lalu.

Pendengaran pertuduhan bagi ketiga-tiga tertuduh Rosli Bakar, 29, Helmat, 22 dan Murad Ahmad, 26, dibacakan di hadapan majistret, Wahidah Zainal Abidin namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga rakan masyarakat Orang Asli berketurunan Jakun itu didakwa bersama-sama melakukan kesalahan dengan niat telah membunuh seorang gadis berusia 14 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hutan berhampiran simpang kawasan perkuburan lama di Bukit Ibam, Muadzam Shah, Rompin 20 Ogos lalu, antara pukul 11.15 malam hingga 7 pagi.

Dengan itu, ketiga-tiga tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Luqman Hakim Mohamad Usari manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Ahmad Deniel Roslan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula 3 November depan, di Mahkamah Rompin sementara menunggu laporan kimia.

Pada 23 Ogos lalu, akhbar melaporkan tiga lelaki Orang Asli disyaki terlibat dalam kes membabitkan kematian seorang remaja perempuan di Bukit Ibam.

Mereka ditahan oleh sepasukan polis daripada cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang.

Berdasarkan laporan awal polis, penemuan mayat mangsa dipercayai seorang gadis Orang Asli berusia 14 tahun dan tidak bersekolah.

Mayat tersebut dijumpai dalam keadaan berdarah di tangan dah kepala di kawasan lereng bukit yang bersemak berdekatan dengan laluan rumahnya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN