Tiada ruang politik esktrim di Sabah-UPKO

Tiada ruang politik esktrem di Sabah-UPKO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah harus menolak budaya politik ekstrem yang boleh menggugat keharmonian kaum di negara ini.

Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Felix Joseph Saang berkata, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini berbaur perkauman dan boleh menimbulkan perbalahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Abdul Hadi mendakwa bahawa golongan bukan Islam dan bukan bumiputera adalah kumpulan majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi negara.

Felix berkata, seorang pemimpin veteran yang kini berada dalam kerajaan tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan seumpama itu kerana ia menggambarkan ketidakmatangan pemimpin berkenaan.

Justeru, rakyat Sabah harus menolak budaya politik ekstrim sebegini. Jika ada parti-parti politik yang masih bersekongkol dengan mereka (Pas) juga harus ditolak.

“Tidak ada ruang untuk politik yang keterlaluan seperti ini di Sabah. Jadi, saya ingin bertanya apa pendirian pemimpin-pemimpin parti tempatan dalam kerajaan Sabah, khususnya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam perkara ini,” soalnya.

Justeru, beliau mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap Abdul Hadi yang mengeluarkan kenyataan melampau dan mengelirukan rakyat.

“Abdul Hadi selaku pemimpin kerajaan tidak seharusnya membuat tuduhan atau dakwaan yang langsung tidak berasas sebegitu.

“Kenyataan dikeluarkan merupakan satu fitnah dan memalukan masyarakat bukan Islam dan bukan bumiputera kerana rasuah tidak mengenal bangsa dan agama.

“Dalam Laporan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 mendedahkan bahawa punca rasuah berlaku berikutan kurang sokongan, kurang kesedaran, kerenah birokrasi, kurang pengesanan awal, kurang usaha mencegah rasuah serta kelemahan penguatkuasaan.

“Ia tiada kaitan dengan individu bukan islam atau bukan bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Abdul Hadi mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera merupakan golongan yang merosakkan politik dan ekonomi negara.

Maka, memilih pemimpin yang tidak berintegriti dan mengamalkan rasuah dalam kalangan golongan disebutkan itu merupakan satu bentuk perbuatan khianat yang akan menghancurkan negara serta dunia.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN