AJL40 SA: Aina Abdul terkilan persembahan terganggu masalah teknikal - Utusan Malaysia

AJL40 SA: Aina Abdul terkilan persembahan terganggu masalah teknikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penyanyi dan komposer, Aina Abdul mengakui kurang berpuas hati dengan persembahannya menerusi lagu Kamu pada pentas separuh akhir Anugerah Juara Lagu (AJL40 SA) susulan gangguan teknikal yang berlaku ketika persembahan berlangsung, semalam.

Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 32, berkata, masalah tersebut sedikit sebanyak mengganggu fokusnya sekali gus menjejaskan nyanyian secara langsung di atas pentas.

“Saya sebenarnya tidak begitu puas hati. Mungkin ada yang perasan, berlaku sedikit gangguan teknikal dan itu antara sebab saya rasa kurang berpuas hati.

“Gangguan itu berlaku seketika, namun tetap memberi kesan kepada persembahan saya. Sejujurnya, saya agak terkilan dan kecewa kerana sepanjang sesi raptai, langsung tiada masalah seperti ini berlaku,” katanya.

Aina berkata demikian ketika ditemui pada sidang media hari pertama AJL40 SA yang berlangsung di Studio TV3, Glenmarie, di sini, semalam.

Menurut penyanyi itu, walaupun kecewa, dia menerima hakikat bahawa sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam persembahan secara langsung.

“Namun, inilah persembahan langsung. Apa sahaja boleh terjadi. Saya terima sahaja, cuma rasa kecewa itu memang ada,” ujarnya.

Pemenang Vokal Terbaik Anugerah Industri Muzik itu turut berharap diberikan peluang untuk menebus kembali kekurangan tersebut sekiranya lagu berkenaan berjaya mara ke pentas akhir AJL40.

“Saya harap akan ada peluang lain, mungkin di pentas final, untuk saya tebus kembali segala kekurangan yang berlaku. Sepanjang penyertaan saya dalam Muzik-Muzik dan AJL, perkara seperti ini tidak pernah berlaku.

“Kalau ada yang mengatakan persembahan saya masih bertenaga, saya bersyukur. Gangguan itu hanya berlaku di hujung persembahan sahaja.

“Saya juga risau memikirkan penonton di rumah kerana mereka tidak menyaksikan secara langsung dan mungkin akan membuat pelbagai tanggapan,” katanya.

Tambah Aina, apa yang lebih penting adalah penilaian juri dan penonton di studio yang menyaksikan sendiri persembahan secara langsung.

“Mereka tahu saya menyanyi secara langsung dan memahami bahawa perkara seperti ini memang boleh berlaku,” katanya.

Hari pertama AJL40 SA semalam menyaksikan sebanyak 12 lagu berentap termasuk Kamu, Pernah Punya Aku, Hijab Rindu, Tangisan Seorang Pendosa, Tiwikarma, Puaskah, Semacam Pandora, F, Rasa & Takdir, Hilangmu Tak Terganti, Ke Mana Ni dan Kerana Ego.

AJL40 SA disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan dihoskan oleh Fiza Frizzy serta Sissy Iman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN