Terima suapan RM1.1 juta, pengarah syarikat mengaku tidak bersalah - Utusan Malaysia

Terima suapan RM1.1 juta, pengarah syarikat mengaku tidak bersalah

SEORANG pengarah syarikat swasta mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima suapan bernilai RM1.1 juta ketika dituduh di Mahkamah Sesyen di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pengarah syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini di atas dua pertuduhan menerima suapan RM1.1 juta berkaitan tender notis saman Polis Diraja Malaysia (PDRM), tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Shazwan Shaharuddin, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada tiga anak itu didakwa menerima suapan berjumlah RM850,000 daripada seorang individu sebagai upah membantu mendapatkan tender bagi perkhidmatan membekal, memproses, mencetak dan mengepos notis saman PDRM kepada sebuah syarikat.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Shazwan didakwa turut melakukan perbuatan itu melibatkan suapan RM250,000 daripada individu sama yang mana kedua-dua kesalahan didakwa itu dilakukan di sebuah bank di Setia Alam masing-masing pada 23 dan 31 Disember 2019.

Pendakwaan terhadap tertuduh dilakukan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Noralis Mat kemudian menawarkan ikat jamin tertuduh berjumlah RM500,000 dan syarat tambahan lain selepas mengambil kira nilai keseluruhan suapan yang tinggi.

Peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili Mohd. Shazwan bagaimanapun memohon pengurangan berikutan anak guamnya itu memberi kerjasama baik dengan SPRM dan tiada risiko untuk melarikan diri.

Rozilah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM55,000 dengan dua penjamin dan perlu melaporkan diri kepada pejabat SPRM berdekatan setiap bulan sebelum menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 20 September depan.

Pada 3 Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan Mohd. Shazwan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas lapan tuduhan menerima suapan berjumlah RM568,000 antara Julai 2019 hingga Oktober 2020.

Dalam pada itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas perbuatan sama dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.