Tengku Adnan calon tunggal BN di Putrajaya - Utusan Malaysia

Tengku Adnan calon tunggal BN di Putrajaya

sokong Muhyiddin
TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dijangka mempertahankan kerusi Barisan Nasional (BN) di Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ini kerana hanya nama beliau dicadangkan oleh UMNO Bahagian Putrajaya untuk mewakili parti tersebut .

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan UMNO Putrajaya, Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya berkata, pihaknya yakin kewibawaan bekas Setiausaha Agung UMNO itu untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi beliau sejak empat penggal lalu.

“PRu15 dijangka Oktober ini dan UMNO Putrajaya sudah melakukan gerak kerja di peringkat akar umbi sejak dari awal lagi. Menguatkan lagi jangkaan itu ialah sudah ada muka-muka baharu yang mula masuk berkempen di Putrajaya.

“Kita hanya mencalonkan satu nama kepada pucuk kepimpinan parti untuk kerusi Parlimen Putrajaya iaitu Tengku Adnan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pada PRU14 lalu, Tengku Adnan berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Putrajaya selepas menang dengan majoriti 3,372 undi menewaskan calon Pas, Zainal Abidin Kidam dan calon PKR, Datuk Dr. Samsu Adabi Mamat.

Ketika ini, terdapat khabar angin yang mengatakan Menteri Kanan Pendidikan yang juga Naib Presiden Parti Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin dijangka bertanding di Parlimen Putrajaya selepas kerap dilihat menyertai aktiviti di kawasan itu.

Atas kapasiti sebagai Menteri Kanan Pendidikan, Radzi menyertai dan melawat kebanyakan sekolah di kawasan Putrajaya selain turut menyertai aktiviti kemasyarakatan dan program-program surau di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu.

Mengulas sekiranya betul Radzi akan bertanding di Putrajaya, Mohd. Hisamudin berkata, situasi berkenaan tidak akan mendatangkan masalah kerana Tengku Adnan bukannya baharu sehari dua ‘bekerja’ untuk masyarakat di Putrajaya.

Dalam pada itu katanya, berdasarkan senario politik semasa, dijangka berlaku pertandingan sehingga lima penjuru pada PRU15 nanti di Parlimen Putrajaya dengan Pejuang, PKR dan Muda juga menunjukkan minat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN