Tawaran gaji lebih RM10,000 tarik golongan muda jadi scammer

Tawaran gaji lebih RM10,000 tarik golongan muda jadi scammer

KAMARUL Zaman Mamat menyaksikan pelepasan konvoi sempena Majlis Pelepasan konvoi Kempen Pencegahan Jenayah Komersial @ Awie Ride di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Peluang memperoleh pendapatan bulanan melebihi RM10,000 menjadi tarikan utama bagi golongan muda terlibat dengan sindiket penipuan dalam talian atau scammer.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tawaran lumayan berkenaan menyebabkan golongan muda tidak berasa ‘bersalah’ untuk melakukan jenayah berkenaan.

Katanya, sindiket terbabit turut mengambil kesempatan terhadap golongan berkenaan yang sememangnya sedang mencari pekerjaan pasca pandemik Covid-19.

“Seperti dalam operasi yang dibuat di Batu Pahat baru-baru ini, serbuan mendapati ejen yang menjadi scammer melibatkan golongan muda berusia antara 18 tahun hingga 25 tahun.

“Sindiket berkenaan ‘memancing’ individu yang sedang mencari pekerjaan dengan tawaran gaji lumayan, gaji tetap sebanyak RM2,500 sebulan tidak termasuk komisen. Jika mereka memperdaya lebih ramai orang, pendapatan boleh mencecah lebih RM10,000 sebulan.

“Disebabkan tawaran tinggi sedemikian, golongan muda ini dengan sendirinya sanggup menjadi scammer sekali gus menipu rakyat yang menjadi sasaran mereka,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Konvoi Kempen Pencegahan Jenayah Komersial @ Awie Ride di Ibu pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini. 

Yang turut hadir artis terkenal Datuk Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie dan Saifulazam Mohammad Yusoff atau Saiful Apek.

Kamarul Zaman berkata, sejak Januari hingga 31 Julai tahun ini, Polis Johor merekodkan sebanyak 1,747 kes jenayah komersial dengan kerugian keseluruhan melibatkan RM156 juta.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 90 peratus atau sejumlah 1,554 kes adalah membabitkan jenayah penipuan secara dalam talian.

“Kempen ini juga diharap dapat memberi maklumat kepada masyarakat berkenaan trend terkini jenayah komersial seperti love scam, Macau scam, parcel scam, internet scam dan sebagainya yang banyak berlaku dalam alam maya,” ujarnya.

Sementara itu, Awie berkata, penganjuran program berkenaan mencapai matlamat awal untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat agar lebih peka terhadap jenayah komersial khususnya secara dalam talian.

“Fasa satu kita dah jelajah ke Utara, kemudian ke negeri Pantai Timur dan kini fasa terakhir kita bergerak ke Selatan. Daripada maklum balas yang saya terima, masyarakat sudah semakin cakna dan mahu mengambil tahu tentang perkembangan semasa termasuk taktik penjenayah.

“Kita dapat lihat orang ramai bertanya soalan dan mendengar penerangan secara serius. Alhamdulillah, ini satu kerjasama yang sangat bagus dalam usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

“Rakyat Malaysia perlu bersama-sama untuk menyampaikan nasihat dan pesanan yang diterima mereka khususnya kepada ahli keluarga dan rakan-rakan agar jenayah ini dapat kita kekang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya