SEREMBAN: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menasihatkan orang ramai untuk berwaspada dengan tawaran dan jualan pakej-pakej pelancongan terutama di media sosial yang disifatkan sebagai semakin berleluasa.
Presidennya, Nigel Wong berkata, pihaknya kini kerap menerima aduan berkaitan penipuan jualan pakej pelancongan itu dengan kebanyakan mangsa tertarik dengan dengan tawaran yang diterima mereka di aplikasi WhatsApp dan Telegram.
“Aduan yang kami terima memang tinggi, dalam dunia internet sekarang, sesiapa sahaja boleh guna Facebook, Instagram untuk pasarkan pakej, memang tinggi (kes penipuan pelancongan) tinggi tetapi kami cuba tingkatkan kesedaran masyarakat dalam hal ini.
“Kebanyakan juga menerusi WhatsApp dan Telegram, susah untuk kita jejak pihak tidak bertanggungjawab itu, apabila mereka sudah dapat duit, mereka hilang. Orang ramai kena berhati-hati, jangan lihat harga murah sahaja itu mesti bagus.
“Sama ada ahli MATTA ataupun tidak orang ramai kena pastikan mereka guna agensi pelancongan yang berlesen, periksa juga lesen mereka menerusi laman web Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Jika mahu mengesahkan lagi, boleh ke pejabat agensi pelancongan itu, jika ada pejabat dan pekerja biasanya ia okay,” katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian MATTA Fair Negeri Sembilan 2024 Kali Ke-27 di sini semalam.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon.
Sementara itu, Nigel memberitahu, bagi menggalakkan sektor pelancongan domestik, pihaknya akan terus membantu mempromosi dan memasarkan produk-produk pelancongan yang ada di negeri-negeri.
“Bagi negeri-negeri yang kurang berkeupayaan untuk memasarkan produk-produk mereka tentu kami akan bantu untuk mempromosikan termasuk roadshow di luar negara seperti di China, India dan negara-negara Eropah, kami akan pasarkan produk-produk ini,” katanya.
Menurut beliau, selain negara-negara ASEAN, China dan India, pelancong dari negara-negara Eropah khususnya dari rantau Balkan dilihat mempunyai potensi pasaran yang cukup baik ke negara ini.
“Kami akan cuba menyasarkan pasaran ini, kerana secara amnya pelancong mereka memang gemarkan produk ekopelancongan, aktiviti luar, makanan, aktiviti beli-belah, warisan dan budaya yang memang popular di negara kita ini,” katanya.-UTUSAN.










