Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah ditutup

Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah pimpinan Habib Shah Firdaus ditutup

PENGUAT KUASA Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan mengambil tindakan menutup pusat pengamalan Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah pimpinan Tuan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad yang berpusat di Kampung Jawa, Labu, Seremban berkuat kuasa semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pusat pengamalan Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah pimpinan Tuan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad yang berpusat di Kampung Jawa, Labu di sini ditutup berkuat kuasa semalam.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, penutupan pusat itu bagi tempoh enam bulan dibuat agar siasatan lanjut dapat dilakukan sebelum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan membuat keputusan, sama ada untuk membatalkan atau tidak pendaftaran tarekat tersebut. 

Jelas beliau, pada awal Julai lalu, pihaknya telah menerima aduan tentang tarekat yang dipimpin oleh Habib Shah Firdaus telah melakukan perbuatan, perkara atau amalan yang bercanggah dengan hukum syarak serta pengamalan tarekat tasawuf seperti mana direkodkan dalam Daftar di bawah perenggan 11(1)(h), Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005.

“Hasil maklumat orang ramai dan kerjasama daripada pihak Polis Diraja Malaysia serta pihak Bahagian Penguat kuasa, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pihak Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan telah bertindak mengeluarkan notis awal pada 25 Julai 2022 berhubung cadangan untuk penutupan pusat pengamalan tarekat tersebut.

“Pihak Habib Shah Firdaus diminta untuk memberi jawapan dalam tempoh tujuh hari selepas notis tersebut dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, oleh kerana tiada jawapan daripada pihak Habib Shah Firdaus diterima, maka 3 Ogos 2022 satu notis penutupan pusat pengamalan Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah pimpinannya dikeluarkan bagi tempoh 6 bulan.

“Sekiranya pihak berkenaan melanggar arahan dan didapati menjalankan aktiviti di pusat tersebut, ia adalah suatu kesalahan dan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM3,000 atau dihukum penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya.

“Dalam hal kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun dan dikenakan denda RM5,000 mengikut Subseksyen 18(5) Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005,” katanya yang turut memberitahu tarekat berkenaan telah berdaftar di bawah Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 pada 13 Ogos 2018.

Mohd. Yusof berkata, tindakan proaktif menutup pusat itu diambil oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan bagi menyekat kesalahan dalam tarekat dan pelanggaran apa-apa syarat yang telah ditetapkan.

“Apa yang berlaku ini, dilihat adalah kesalahan yang dibuat oleh individu yang memimpin tarekat tersebut, sama ada pengamal atau amalannya mengikut hukum syarak dan disiplin ilmu tarekat serta tasawuf atau tidak.

“Sebagaimana yang diketahui, Tarekat al-Naqsyabandiah al Khalidiyyah merupakan satu daripada tarekat yang muktabar (terkenal) di dunia,” katanya lagi.

Beliau dalam pada itu menjelaskan, dengan adanya Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 ini, tarekat yang beramal di Negeri Sembilan dapat dikawal dan dipantau serta sekiranya ada kesalahan yang dilakukan tindakan secara undang-undang boleh dikenakan.

“Hal ini mengikut Subseksyen 18(1), Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya