TalentCorp lancar mynext, perkasa bakat sumber manusia negara

TalentCorp lancar mynext, perkasa bakat sumber manusia negara

M. SARAVANAN dan Ahmad Masrizal Muhammad melancarkan inisiatif mynext bagi memperkasa bakat sumber manusia negara di Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya, Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) terus memperkasa bakat sumber manusia negara melalui pelancaran inisiatif mynext.

Inisiatif itu merupakan usaha berterusan TalentCorp dan KSM dalam memacu kerjasama strategik merentasi pemegang taruh terutamanya dalam kalangan kementerian dan agensi kerajaan yang memanfaatkan bakat sumber manusia di bawah aspirasi Keluarga Malaysia.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, usaha proaktif itu bertepatan dengan aspirasi kerajaan untuk terus melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkualiti serta berkemahiran tinggi selaras dengan
perubahan lanskap ekonomi dan pasaran pekerjaan.

“Usaha ini juga bakal memperkasa ketersediaan dan kebolehpasaran bakat sumber manusia bagi mendepani cabaran pasaran pekerjaan yang lebih kompetitif dalam era pasca pandemik Covid-19,” katanya pada majlis pelancaran mynext di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis pelancaran turut disertai oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad.

Pembangunan portal mynext merangkumi tiga komponen yang memanfaatkan para graduan, pekerja, syarikat dan institusi pendidikan. Tiga komponen itu ialah:

1. mynext Talent – bakat yang berdaftar berpeluang menilai kekuatan dan memperbaiki jurang kemahiran mereka melalui lima modul penilaian profil kerjaya seperti ‘work values’, ‘personality & motivation’, ‘employability’, dan
‘future of work’ serta satu modul penilaian kompetensi Bahasa Inggeris.

2. mynext University – Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta Institusi Latihan Kemahiran kini mempunyai akses kepada analitis bakat bagi institusi masing-masing melalui fungsi analytical dashboard.

3. mynext Company – Pihak industri amat digalakkan untuk bekerjasama dan terlibat secara aktif dalam menawarkan latihan industri berstruktur kepada bakat muda negara melalui portal mynext, serta mendapat potongan cukai berganda di bawah pelaksanaan Program Latihan Industri Berstruktur Nasional (MySIP).

Menurut KSM, dalam konteks makro, analisis data mynext membantu kementerian dan agensi untuk memeta permintaan dan penawaran bakat secara strategik serta membangunkan dasar sumber manusia yang bersifat dipacu oleh permintaan (demand-driven), sedia untuk masa hadapan (future-ready) dan mengikut acuan yang bersesuaian dengan semangat Keluarga Malaysia.

Sehingga Julai 2022, terdapat lebih 170,000 profil bakat merentasi institut pengajian tinggi yang telah mendaftarkan diri dengan platform ini.

“Usaha ini adalah selaras dengan fokus strategik Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk memantapkan perancangan guna tenaga negara mengikut keperluan industri bagi mengekalkan guna tenaga penuh,” katanya.

Melalui kolaborasi itu, KSM juga berhasrat supaya ia dapat membantu Kementerian Pengajian Tinggi untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan tempatan.

Inisiatif mynext turut disenaraikan di bawah Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan KPT 2021 – 2025 untuk memperkasakan fungsi dan peranan pusat kerjaya sebagai pusat sehenti pembangunan dan perkembangan kerjaya pelajar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN