Takaful Pelajar Agrobank lindungi 15,000 pelajar - Utusan Malaysia

Takaful Pelajar Agrobank lindungi 15,000 pelajar

TENGKU Ahmad Badli Shah Raja Hussin menunjukkan memorandum persefahaman pelan perlindungan takaful pelajar yang ditandatangani bersama Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid sempena MAHA 2022 di MAEPS, Serdang. -UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Kira-kira 15,000 pelajar di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bakal menerima manfaat pelan perlindungan takaful serendah RM30 setahun yang diperkenalkan oleh Agrobank.

Presiden Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, menerusi pelan tersebut, pelajar akan menikmati perlindungan secara hibrid iaitu RM10,000 bagi kemalangan dan hilang upaya kekal atau RM10,000 membabitkan kematian biasa.

“Usaha untuk membantu seluruh peringkat komuniti khususnya yang kurang mendapat liputan dan perhatian sentiasa menjadi keutamaan di Agrobank.

“Justeru kerjasama strategik antara Agrobank dan Bahagian Latihan Kemahiran Pertanian (BLKP) adalah bertepatan bagi memastikan para pelajar terlibat turut dilengkapi perlindungan takaful kemalangan,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman bersama Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid sambil disaksikan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang hari ini.

Tambahnya, pelan berkenaan akan melindungi pelatih-pelatih Sijil Kemahiran Malaysia, Diploma Kemahiran Malaysia dan sijil-sijil di bawah seliaan jabatan iaitu Sijil Pertanian Malaysia, Sijil Veterinar Malaysia dan Sijil Perikanan Malaysia.

Kata beliau, sejajar dengan prinsip Agrobank, amalan kemampanan terbaik menjadi nadi dalam memastikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan dapat membantu sekali gus memberi impak kepada komuniti sasar.

“Pelan berkenaan amat penting bagi melindungi mereka daripada sebarang ketidaktentuan yang mungkin berlaku di masa hadapan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya