Syabu 841.06 kilogram dianggar bernilai RM30.8 juta dirampas

Syabu 841.06 kilogram dianggar bernilai RM30.8 juta dirampas

RAMLI Mohamed Yoosuf (tengah) menunjukkan sebahagian rampasan dadah jenis syabu seberat 841.06 kilogram sekali gus menumpaskan satu sindiket dadah dipercayai antara yang terbesar negara. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan pengedaran bagi pasaran antarabangsa dan tempatan. 

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket terbabit dikesan dalam satu serbuan yang diadakan pada 20 Ogos lalu antara pukul 9 malam hingga 11 malam, di sekitar daerah ini.

Menurutnya, hasil serbuan itu, pihak polis berjaya menahan tiga lelaki warga emas berusia 61, 62, dan 63. tahun di tepi jalan di dalam kawasan Kampung Bukit Tinggi di sini. 

Katanya, hasil tangkapan suspek membawa kepada penemuan sebuah rumah di Taman Anggerik dijadikan stor sindiket sekali gus membawa kepada rampasan sejumlah 841.06 kilogram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM30.8 juta. 

“Menerusi serbuan itu,  polis turut menemukan sepucuk pistol jenis Glock dalam kereta suspek serta satu laras senjata api tiruan bersama empat kelopak peluru, 50 butir peluru hidup, 17 butir peluru 12 bore, dan dua batang besi barrel ditemukan dalam rumah dijadikan stor sindiket.

“Dari siasatan kami mendapati senjata yang dirampas kemungkinan digunakan sebagai jaminan buat suspek dalam melakukan aktiviti penyuludupan dan pengedaran dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini hari ini.

Turut dirampas dalam serbuan itu sebuah kereta jenis Nissan Sunny dianggarkan bernilai RM5,000, wang tunai berjumlah RM1,564 dan wang di dalam akaun bank RM6,623.65.

Ramli berkata, siasatan ke atas ketiga-tiga suspek mendapati mereka yang merupakan warganegara tempatan itu negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Suspek pertama berusia 61 tahun dan suspek ketiga berusia 63 tahun bekerja sebagai pekebun durian manakala suspek kedua berusia 62 tahun merupakan penganggur.

“Ketiga-tiga suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan semua suspek direman tujuh hari bermula 21 Ogos sehingga 27 Ogos ini,” katanya.

Katanya lagi, sindiket melakukan penyeludupan dan pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier ke pasaran antarabangsa disyaki ke negara serantau selain melakukan pengedaran pasaran tempatan.

“Sindiket ini dipercayai telah bermula sejak awal tahun ini di mana ketiga-tiga suspek yang merupakan kenalan lama dipercayai mengambil dadah dari luar dan menjadikan rumah di sini sebagai tempat simpanan dan bungkusan. 

“Kami percaya ketiga-tiga suspek bukan dalang sindiket ini dan pihak JSJN akan meneruskan siasatan bagi mengesan saki baki ahli sindiket untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN