Sindiket diesel bersubsidi di Krubong tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket diesel bersubsidi di Krubong tumpas

NORENA Jaafar (kiri) menunjukkan tangki simpanan diesel yang disita dalam serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Krubong, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kegiatan sebuah premis dipercayai menjalankan aktiviti penjualan diesel bersubsidi secara haram tumpas selepas berjaya dihidu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, modus operandi digunakan sindiket adalah dengan membeli diesel bersubsidi dari stesen minyak sekitar Melaka menggunakan lori satu atau tiga tan yang ditutup menggunakan kanvas dan dipasang tangki khas berkapasiti 1,000 liter.

Beliau menjelaskan, serbuan diketuai pihak polis terhadap premis yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Krubong di sini, dibuat pukul 2 petang semalam dan berjaya menahan lima pekerja dan nilai rampasan dianggarkan lebih RM186,000.

“Ketika serbuan, lima pekerja lelaki termasuk dua pekerja warga asing berusia antara 20-an hingga 40-an sedang leka memindahkan diesel bersubsidi ke dalam tangki utama simpanan di stor berkenaan.

“Modus operandi digunakan, pekerja ini akan bergerak menggunakan lori yang membawa tangki khas berkapasiti 1,000 liter yang ditutup menggunakan kanvas di stesen-stesen minyak sekitar Melaka.

“Tangki itu kemudian akan diisi minyak diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter sehingga RM300 atau RM500, sebelum ia dijual pada pelanggan mereka pada harga lebih RM4 seliter berbanding harga industri RM5.15 seliter. Ini membolehkan mereka mengaut keuntungan mudah lebih RM2 seliter,” katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan hari ini.

Tambah Norena, KPDNHEP negeri menyita 12,000 liter diesel bersubsidi bernilai RM25,800, sebuah lori tangki berkapasiti 10,000 liter, dua tangki simpanan berkapasiti 40,000 liter dan 20 buah tangki tambahan berkapasiti 20,000 liter.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun bagi kesalahan orang perseorangan.

“Bagi syarikat atau pertubuhan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan pertama atau sehingga RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku baru beroperasi kira-kira tiga bulan lalu, namun hasil risikan sejak dua minggu kita percaya mereka aktif lima ke enam bulan lalu berdasarkan keadaan premis yang mempunyai banyak kemudahan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.