Kediaman dan kedai terbiar, dipenuhi semak akan dilelong

Kediaman dan kedai terbiar, dipenuhi semak akan dilelong

J. ARUL Kumar dan Nicole Tan turun padang melawat premis terbiar dipenuhi semak yang telah digantung notis pembersihan oleh MBS di Lorong Java, Seremban semalam.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pemilik lot kediaman dan kedai di bandar raya ini yang gagal menyelenggara premis mereka sehingga dipenuhi semak dan terbiar berdepan tindakan tegas termasuk dikenakan tindakan mahkamah dan harta dilelong.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, sebagai langkah awal, pemilik diberi notis tujuh hari Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk melakukan pembersihan dan kos ditanggung oleh pemilik itu sendiri.

Jelasnya, sebanyak 453 notis pembersihan telah dikeluarkan oleh MBS sehingga Julai tahun ini dengan hanya 147 daripadanya telah diambil tindakan oleh pemilik.

“Jika di Lorong Java di sini saja, ada lebih kurang 10 lot kedai yang telah lama dibiarkan dalam keadaan semak samun sehingga menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk sekitar.

“Pemilik premis bersebelahan malah pernah mengadu ternampak beberapa ekor ular di situ, sudah tentu ia menimbulkan isu keselamatan dan mengganggu ketenteraman pemilik premis lain,” katanya pada sidang akhbar di Lorong Java di sini semalam.

Beliau sebelum itu bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon turun padang melawat premis terbiar di kawasan tersebut yang telah digantung notis pembersihan MBS.

Menurut Arul Kumar, selain itu terdapat kes di kawasan Mantin yang mana penduduk terpaksa menanggung masalah anai-anai daripada rumah bersebelahan yang ditinggalkan oleh pemiliknya dalam keadaan terbiar.

Jelas beliau, sekiranya tiada sebarang tindakan diambil oleh pemilik premis dalam tempoh tujuh hari, mereka boleh berdepan tindakan tegas termasuk didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 82 Akta 171 Akta Kerajaan Tempatan 1976 atas kesalahan kacau ganggu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN