Khidmat bot penambang masih jadi pilihan

Khidmat bot penambang masih jadi pilihan

ORANG ramai sedang menaiki bot penambang di Jeti Bot Penambang Seberang Takir, Kuala Nerus, Terengganu. – UTUSAN/ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Perkhidmatan bot penambang di Jeti Bot Penambang Seberang Takir di sini, masih menjadi pilihan komuniti setempat dan pelancong untuk ke Pasar Kedai Payang serta kawasan sekitarnya.

Dengan harga RM2 untuk sekali jalan, penumpang dapat menikmati pemandangan indah di sekitar Muara Terengganu dan Jambatan Angkat.

Seorang pengguna, Baizura Mohd. Ali, 42, berkata, dia memilih menaiki bot penambang kerana mahu merasai pengalaman menggunakan perkhidmatan pengangkutan air berkenaan.

“Sudah lama saya tak naik bot penambang sejak ada Jambatan Angkat. Walaupun terpaksa menunggu bot dalam 10 hingga 15 minit , tetapi itu tak jadi masalah. Pada hari biasa tak banyak bot yang beroperasi jadi kena tunggu bot dari Pasar Payang pulang ke sini ,” katanya kepada Utusan Malaysia di jeti berkenaan.

Nor Akma Awang, 42, pula berkata, dia memilih menaiki bot penambang untuk ke bandar sebagai pilihan kepada laluan darat.

“Sesekali naik bot penambang bawak anak-anak seronok juga. Selain dapat membantu pengusaha bot penambang di sini,” katanya.

Sementara itu, pemandu bot, Mohd. Rizal Razali, 44, berkata, dia meneruskan legasi bapanya, Razali Abdul Ghani sejak tiga tahun lalu.

Katanya, dia menggunakan bot milik bapanya itu dan rutinnya setiap pagi adalah menunggu pelanggan di jeti.

 “Boleh dikatakan, pelanggan semakin kurang terutama  pada hari biasa tapi pada hujung minggu dan cuti persekolahan pelanggan agak ramai. Kadangkala kalau hujung minggu boleh dapat sehingga RM50 sehari.

“Bagaimanapun kos penyelenggaraan  bot juga agak mahal manakala kos penggunaan minyak diesel sebulan mencecah RM300 hingga RM400,” katanya.

Pengerusi Persatuan Bot Penambang Jeti Seberang Takir, Mohd. Ibrahim, 78, berkata, sehingga kini terdapat 13 pemandu bot yang aktif.

“Pelanggan tidak menentu, ada hari ramai, ada hari kurang. Kita pun kena terima hakikat masyarakat semakin banyak pilihan sekarang selain adanya Jambatan Angkat menjadikan perjalanan makin dekat.

“Pada masa kini, pendapatan yang diperoleh antara RM10 pada hari biasa dan boleh mencecah RM80 sehari pada hujung minggu atau cuti persekolahan,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan supaya turun padang bagi mendengar masalah  pengusaha bot penambang pada masa kini termasuk mengambil kira inisiatif yang dapat merancakkan semula perkhidmatan itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN