Shahrir terima cek bernilai RM1 juta daripada Najib – Saksi

Shahrir terima cek bernilai RM1 juta daripada Najib – Saksi

SHAHRIR Samad tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. UTUSAN/Razali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus bank memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini terdapat pindahan wang bernilai RM1 juta daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Sharil @ Shahrir Ab. Samad, sembilan tahun lalu.

Pengurus Ambank cawangan Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi, 43, memberitahu, pindahan wang tersebut yang berlaku pada 28 November 2013 dibuat melalui cek AmIslamic Bank yang disahkan pemiliknya ialah Ahli Parlimen Pekan itu.

“Saya sahkan bahawa pada 28 November 2013, terdapat pengeluaran berjumlah RM1 juta daripada akaun tersebut melalui cek sepertimana yang tertera pada butiran penyata.

“Saya sahkan ini adalah salinan asal cek AmIslamic Bank atas nama Sharil Abdul Samad berjumlah RM1,000,000.00 bertarikh 27 November 2013. Saya juga sahkan bahawa pembayaran dibuat daripada akaun Mohd. Najib Abd Razak melalui akaunnya,” jelas saksi pendakwaan ke-12 itu.

Uma Devi turut mengesahkan salinan Penyata Bank AmPrivate Banking-My adalah atas nama ‘Datuk Seri Mohd Najib Abd Razak’ pada 30 November 2013. 

Merujuk kepada salinan penyata akaun bank Najib, pada November 2013, baki bawa ke hadapan akun itu ialah  RM48,273,239.26 manakala pada tarikh 30 November 2013, baki akaun ialah RM36,922,068.26. 

Bagaimanapun, saksi itu menyatakan akaun itu telah ditutup pada 9 Mac 2015 atas sebab yang tidak dinyatakan dan baki sebanyak RM103,361.17 sen dalam akaun tersebut bersama dua lagi akaun Najib yang lain telah dipindahkan ke sebuah syarikat Ihsan Perdana Sdn. Bhd. melalui cek.

Shahrir sedang dibicarakan atas tuduhan tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada Najib yang berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013.

Cek itu kemudian dimasukkan ke dalam akaun Public Islamic Bank milik tertuduh pada 28 November 2013 dan dia didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 24 April 2014 di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April, 2014.

Ketika sesi pemeriksaan utama, Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi bertanya kepada saksi itu sama ada data yang tertera dalam sistem perbankan itu boleh diubah dan dia menjawab, tidak boleh.

Rasyidah Murni: Boleh kamu jelaskan apa maksud pengesahan pengeluaran cek melebihi RM250,000? 

Uma Devi: Mana-mana cek yang melebihi RM250,000, apabila diperlukan, pengesahan akan dibuat oleh individu yang diberi kuasa. 

Rasyidah Murni: Hanya siapa yang boleh mengeluarkan cek? 

Uma Devi: Cek hanya boleh dikeluarkan oleh pemilik akaun. 

Rasyidah Murni: Bolehkah mereka yang diberikan kuasa atau kebenaran, mengeluarkan cek ini selain daripada pemilik akaun? 

Uma Devi: Tidak boleh kerana cek memerlukan tandatangan pemilik akaun. 

Mohd ‘Afif: Tengok muka belakang cek itu, boleh bacakan? 

Uma Devi: Boleh, ada nombor akaun Tan Sri Shahrir.

Pertuduhan terhadap Shahrir dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung 5 September ini.  – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN