Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dipinda, bendung kegiatan mat rempit - Utusan Malaysia

Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dipinda, bendung kegiatan mat rempit

ISHAM Ishak bersalaman dengan Mat Kasim Karim sambil diperhatikan Mohd. Shuhaily Mohd. Zain (kiri) dalam sidang akhbar mengenai isu mat rempit di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di George Town hari ini. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dipinda dengan hukuman lebih berat bagi membanteras kegiatan lumba haram terutama melibatkan mat rempit yang membahayakan nyawa mereka serta pengguna jalan raya lain.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak berkata, antara cadangan pindaan itu adalah kadar minimum saman kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam kegiatan mat rempit dinaikkan ke kadar yang lebih efektif.

”Sebagai contoh, sebelum ini mereka yang didapati berlumba haram dikenakan saman berjumlah RM300, mungkin dengan cadangan pindaan akta ini kadar saman akan dinaikkan sehingga RM5,000 atau RM10,000 untuk mengelakkan aktiviti lumba haram ini.

“Selain itu, mereka yang terlibat lumba haram juga bakal dikenakan hukuman penjara, malah ibu bapa kepada remaja yang berusia di bawah 18 tahun yang didapati terlibat di dalam kegiatan lumba haram dan penyokong lumba haram juga akan dikenakan tindakan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim.

Pada 17 Julai lalu, lima penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal dan dua buah kereta di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu di sini yang mana polis percaya kejadian itu akibat kegiatan lumba haram.

Beliau berkata, pemilik bengkel yang didapati terlibat dalam kegiatan mengubah suai motosikal bagi tujuan lumba haram juga akan dikenakan tindakan.

”Menerusi cadangan pindaan akta ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) mungkin akan diberi kuasa untuk menyita dan menarik balik lesen bengkel yang ubah suai motosikal bagi kegiatan lumba haram.

”Kita juga mungkin membenarkan syarikat insurans menyemak pangkalan data di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai maklumat mat rempit yang telah dikenakan hukuman untuk mengenakan premium insurans yang lebih tinggi terhadap mereka,” katanya.

Dalam pada itu tambah beliau, satu pasukan khas akan dibentuk antaranya melibatkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Pengangkutan Pengangkutan (JPJ); pertubuhan bukan kerajaan (NGO), anggota masyarakat dan sebagainya bagi mendapatkan input-input berhubung dengan pindaan tersebut.

”Pasukan khas ini diberi masa tiga bulan untuk melengkapkan input-input yang diperlukan termasuk pandangan masyarakat bagi cadangan pindaan akta ini.

”Pindaan akta itu juga dijangka dibentangkan pada sesi pertama sidang Dewan Rakyat tahun depan bagi memberi kuasa kepada PDRM dan JPJ untuk menguatkuasakan akta itu dengan lebih menyeluruh,” katanya.

Tambah beliau, kegiatan lumba haram jika tidak dibendung akan menjadi isu sosial yang semakin berleluasa sekali gus merugikan masyarakat dan negara.

“Cadangan pindaan adalah adil dan saksama untuk semua pihak, kerana isu mat rempit ini telah lama berlaku malah melibatkan kehilangan nyawa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya