WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengumumkan sekatan terhadap tiga individu dan sembilan syarikat kerana didakwa membantu penghantaran minyak Iran ke China.
Sembilan syarikat itu melibatkan empat yang berpangkalan di Hong Kong dan empat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta satu lagi di Oman.
Langkah Jabatan Perbendaharaan AS itu dibuat susulan sekatan yang diumumkan pada Jumaat terhadap individu dan syarikat yang membantu pembelian peralatan ketenteraan Iran, termasuk komponen untuk menghasilkan dron serta peluru berpandu balistik.
Tindakan tersebut dibuat beberapa hari sebelum pertemuan yang dirancang antara Presiden AS, Donald Trump dan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping.
Trump dijangka menekan pemimpin China itu untuk membantu menyelesaikan ketegangan dengan Iran dan membuka semula Selat Hormuz yang dianggap laluan kritikal.
Jabatan Perbendaharaan berkata, senarai baharu oleh Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) menyasarkan individu dan entiti yang membantu Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menjual serta menghantar bahagian eksport minyak Iran ke China melalui rangkaian syarikat proksi.
Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent berkata, pentadbiran Trump akan terus meningkatkan tekanan ke atas Teheran bagi menyekat pembiayaan kerajaan dan tentera Iran, termasuk untuk pembelian senjata, program nuklear serta sokongan kepada proksi di rantau tersebut.
“Perbendaharaan akan terus memutuskan akses Iran daripada rangkaian kewangan yang digunakan untuk melakukan tindakan pengganas dan menggugat ekonomi global,” kata Bessent.
Menurut Perbendaharaan AS, IRGC yang disenaraikan Washington sebagai organisasi pengganas bergantung kepada syarikat proksi bagi mengatur dan menerima bayaran untuk penghantaran minyak Iran.
Tindakan tersebut merupakan rentetan daripada sekatan yang dikenakan pada Julai 2025 terhadap Golden Globe, sebuah syarikat proksi berpangkalan di Turkiye yang menguruskan ratusan juta dolar hasil jualan minyak IRGC setiap tahun.
Tiga individu yang dikenakan sekatan oleh AS bekerja di ibu pejabat minyak Shaid Purja’fari milik IRGC dan didakwa menyelaras pembayaran melalui Golden Globe, menurut Jabatan Perbendaharaan.- AGENSI










