KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) Johor mahu Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, cadangan tersebut akan menjadi fokus yang akan dibawa oleh beliau sendiri dalam Konvensyen PH yang akan diadakan di Johor hujung minggu ini.
Katanya, selain menjimatkan kos, langkah itu penting bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat keluar mengundi.
“Johor sebagai tuan rumah akan diberi ruang dimana akan ada forum dalam kalangan Pengerusi PH iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi PKR bersama Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.
“Jadi, selain daripada isu persempadanan semula dan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang kami akan bawa, kami juga akan membawa isu PRU sepatutnya berjalan serentak dengan PRN.
“Ia untuk memberi peluang kepada rakyat keluar mengundi secara beramai-ramai dan dapat menjimatkan kos kerajaan dalam suasana ekonomi yang tegang pada ketika ini.
“Penjimatan pada ketika ini adalah perlu kerana ia adalah duit rakyat dan saya akan bangkitkan perkara tersebut dalam konvensyen itu nanti.
“Pilihan raya serentak ini membolehkan rakyat memilih dengan adil dan mereka boleh keluar seramai mungkin berbanding terpisah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Aminolhuda dalam pada itu menepis dakwaan cadangan pelaksanaan pilihan raya serentak itu adalah bagi menutup kelemahan PH di Johor.
“Kalau bukan sebab kekuatan PH di peringkat pusat dan tidak memberi peluang kemasukan pelabur, negeri itu tidak boleh pergi jauh juga,” katanya.
Selain itu, katanya, tindakan UMNO yang mahu kekal bertanding 40 kerusi pada PRN akan datang menunjukkan pendekatan yang tidak demokratik.-UTUSAN.









