PETALING JAYA: Keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah meningkatkan peluang Pakatan Harapan untuk kembali berkuasa.
Penganalisis politik, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya memberitahu FMT beliau percaya bekas perdana menteri itu merupakan penghalang besar kepada aspirasi PH apabila beliau bebas menyerang gabungan tersebut sama ada dalam ucapan atau melalui penulisan.
“Kesabitan Najib telah menyebabkan UMNO tidak bertaring,” katanya, sambil menambah bahawa kelemahan UMNO akan menjadi tamparan kepada jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, serangan berterusan Najib terhadap PH yang menyebabkan gabungan itu kehilangan kepercayaan orang ramai, sambil menambah bahawa reputasinya masih belum pulih.
Beliau memuji siaran dalam talian Najib kerana diteliti dengan baik dan berkata tiada pemimpin BN lain yang dapat menandingi popularitinya di media sosial.
“Dia mempunyai 4.6 juta pengikut dan siarannya mendapat puluhan ribu suka. Tiada sesiapa dalam pembangkang mempunyai pengikut seperti itu.
“Dengan UMNO kehilangan pengaruh media sosial secara umumnya, PH boleh memenangi PRU15, lebih-lebih lagi jika ia diadakan kemudian. Ketiadaan Najib memberi kelebihan kepada PH,” katanya.
Ahli Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir mempunyai pandangan berbeza mengenai situasi itu.
Beliau berkata sabitan Najib akan membolehkan UMNO dan BN mendapat manfaat daripada undi simpati.
“Ia juga mungkin memperlihatkan mereka yang menyokong UMNO tetapi tidak suka Najib kembali ke pangkuan parti itu,” katanya seperti yang dipetik dari FMT.
Bagaimanapun, kata beliau juga ketiadaan Najib akan menjejaskan UMNO dan BN, kerana parti itu kekurangan tokoh untuk menentang pembangkang.
“Peranan Najib dalam pilihan raya negeri Johor dan Melaka tidak boleh diperkecilkan.
“Jika BN mahu memenangi pilihan raya, ia perlu diadakan (PRU15) tidak lama lagi untuk mengambil kira faktor simpati,” katanya.
Dr. Jeniri berkata, melewatkan pilihan raya umum akan memberi masa kepada lawan BN untuk mempengaruhi sentimen terhadap kerajaan yang dipimpin oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Sekiranya pilihan raya ditangguhkan dan tanpa Najib di sudut BN, tidak mustahil PH dapat kembali sokongan rakyat,” katanya.
Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman Najib dalam perbicaraan SRC International. Najib, yang disabitkan atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram, akan menjalani hukuman penjara 12 tahun dan membayar denda RM210 juta.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh. – UTUSAN