PARIT: Berumur 64 tahun dan menikmati pencen yang agak lumayan sebagai pesara tentera laut tidak membuatkan Mohd. Jamil Ahmad duduk diam di kediamannya di Kampung Ekor Lambat di sini.
Berpegang kepada prinsip dan etika kerja sebagai penjawat awam beruniform sebelum ini, bapa kepada empat zuriat ini mengusahakan tanaman bunga kantan secara serius sejak lebih 20 tahun lalu ditanah seluas 1.21 hektar.
“Sebenarnya, pada mulanya saya tanam di tanah milik sendiri seluas 0.2 hektar sebelum berkembang dengan menyewa tanah penduduk kampung lain termasuk berdekatan rumah kerana sebelumnya dibiarkan sebegitu sahaja.
“Saya berbincang dengan pemilik tanah untuk menyewanya kerana sayang dipenuhi semak samun. Mereka bersetuju dengan syarat membersihkannya terlebih dahulu.
“Realitinya, bunga kantan memang mempunyai permintaan tinggi kerana adalah antara bahan utama menyedapkan laksa yang menjadi kegemaran orang Perak secara khususnya,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Beliau berkata, permintaan tinggi daripada pemilik gerai dan restoran sekitar Parit dan pengusaha kosmetik membuatkan beliau tidak menang tangan menanganinya.
“Setiap bulan saya bekalkan kira-kira 2,000 batang bunga kantan dengan harga RM0.80 sebatang dan mampu mencecah RM2 pada musim perayaan selain membekalkan anak-anak pokok kepada petani-petani lain yang berminat.
“Pendapatan tidaklah menentu tetapi secara purata mencecah empat angka kerana tanaman ini akan mengeluarkan banyak bunga pada musim panas dan kering berbanding musim tengkujuh,” katanya.
Bercerita mengenai pokok kantan, Jamil berkata, tumbuhan itu bersifat malar iaitu sekali tanam sahaja.
“Pokok kantan kebal kerana bertahan hidup dalam apa juga keadaan, mudah dijaga serta mempunyai daya tahan yang tinggi terhadap serangan penyakit dan makhluk perosak,” katanya. – UTUSAN










