BACHOK: Jalur Gemilang perlu dihormati dan dikibarkan dengan penuh adab serta tatacara yang betul sebagai terjemahan jati diri dan semangat patriotik rakyat Malaysia.
Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri, Datuk Dr. Roslan Hussin berkata, setiap helaian Jalur Gemilang yang berkibar megah bukan sekadar kain berwarna merah, putih, biru dan kuning tetapi lambang maruah, kedaulatan serta kekuatan negara yang mesti dipertahan.
Justeru, menjelang sambutan Hari Kebangsaan Ke-68, beliau berharap setiap rumah di negara ini mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kasih dan taat setia kepada negara.
“Saya berharap satu rumah, satu bendera. Jika ada pihak korporat atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mampu membantu, inilah sumbangan terbaik untuk komuniti, iaitu memastikan setiap rumah mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia pada Program Joyride Semarak Kemerdekaan Madani Penggiat Kuda Kelantan, di Pantai Kandis, di sini semalam.
Roslan berkata, Jalur Gemilang adalah imej utama negara yang melambangkan maruah, perpaduan, kekuatan bangsa dan pengibarannya hendaklah dilakukan pada kedudukan yang betul serta mematuhi protokol.
“Tidak boleh ada unsur main-main atau gurauan dalam memperlaku bendera ini kerana ia adalah simbol kemenangan dan keteguhan negara kita.
“Sejarah dunia membuktikan setiap kemenangan besar diraih dengan pengibaran bendera sebagai tanda mutlak kejayaan. Dari Napoleon Bonaparte, Genghis Khan sehinggalah ke detik penaklukan Constantinople, bendera menjadi tanda kukuh maruah perjuangan,” katanya.
Menurut beliau, dalam sejarah Islam, sahabat Nabi SAW seperti Jaafar bin Abi Talib sanggup kehilangan kedua-dua tangannya demi mempertahan panji Islam agar tetap tegak di medan perang.
“Bendera adalah lambang perjuangan. Sesiapa yang mampu mengangkatnya, maka dialah yang memiliki kekuatan untuk menegakkan kemenangan,” katanya. – UTUSAN










