Setiap ringgit Belanjawan 2027 mesti beri manfaat kepada rakyat

Setiap ringgit Belanjawan 2027 mesti beri manfaat kepada rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan Belanjawan 2027 perlu memastikan setiap ringgit yang diperuntukkan kerajaan benar-benar menghasilkan perubahan yang dapat diukur dan memberi manfaat kepada rakyat.

Pengerusi Pertubuhan Profesor G70 (PPG70), Prof. Emeritus Datuk Dr. Wan Ramli Wan Daud berkata, kejayaan belanjawan itu bukan sahaja bergantung kepada jumlah peruntukan yang diumumkan, tetapi juga pelaksanaan dasar yang mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, Belanjawan 2027 yang melibatkan perbelanjaan dan pelaburan awam berjumlah RM510 bilion mencerminkan usaha kerajaan mengimbangi keperluan membantu rakyat dengan pengurusan kewangan negara secara berhemat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Aspirasi belanjawan ini mencerminkan harapan yang dikongsi oleh setiap keluarga dalam mendapat pendapatan yang mencukupi, pendidikan, perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, serta pengurusan kewangan negara yang berhemat dan mampan.

“Atas dasar itu, PPG70 bersedia menyumbangkan kepakaran dan pengalaman ahli-ahli kami bagi memastikan setiap ringgit yang diperuntukkan menghasilkan perubahan yang dapat diukur serta dipertanggungjawabkan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Wan Ramli, belanjawan negara merupakan dokumen amanah yang menentukan bagaimana wang rakyat dikutip, diperuntukkan dan dibelanjakan demi kepentingan negara serta kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu, katanya, perbahasan berasaskan fakta dan analisis membina penting bagi membantu rakyat memahami keutamaan belanjawan, selain memastikan pelaksanaan dasar benar-benar mencapai matlamat ditetapkan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menyambut baik tumpuan Belanjawan 2027 terhadap usaha menangani kos sara hidup, termasuk peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion.

Katanya, kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027, peningkatan pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 serta kenaikan pencen minimum kepada RM1,350 sebulan turut mencerminkan usaha mengurangkan beban kewangan isi rumah.

“langkah tersebut berpotensi memberi kesan lebih berterusan kepada rakyat berbanding bantuan yang diberikan secara sekali sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menyambut baik peningkatan peruntukan Kementerian Pendidikan (KPM) kepada hampir RM69 bilion, termasuk penggandaan dana baik pulih sekolah kepada RM2 bilion serta kenaikan Bantuan Awal Persekolahan daripada RM150 kepada RM200 bagi 5.3 juta murid.

Katanya, pelaburan dalam pendidikan penting bagi membangunkan modal insan, meningkatkan mobiliti sosial dan memperkukuh daya saing negara.

Selain itu, beliau berkata, tawaran jawatan tetap kepada lebih 9,000 doktor pada 2027 merupakan perkembangan penting dalam menangani isu yang telah berlarutan selama bertahun-tahun.

“PPG70 menyeru semua pihak agar berganding bahu untuk menjayakan Belanjawan 2027 dengan meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan bersama,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini