Rafizi ajak orang ramai sumbang idea, kepakaran bina dasar negara - Utusan Malaysia

Rafizi ajak orang ramai sumbang idea, kepakaran bina dasar negara

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Mohd. Rafizi Ramli mengajak rakyat di negara ini yang mempunyai idea dan kepakaran untuk menggubal dasar negara. 

Beliau berkata, orang ramai diseru tampil menyumbangkan idea bagi membantu parti itu membina kerangka dasar yang boleh dibawa kepada rakyat untuk dipertimbangkan. 

“Malaysia berada di persimpangan yang sangat kritikal. Bukan sahaja ruang kewangan negara semakin sempit (akibat salah urus dan sektor ekonomi yang semakin mencabar), masalah-masalah yang membebankan rakyat tidak lagi boleh diselesaikan dengan kerangka dan pendekatan pemikiran yang sama.

“Misalnya masalah kenaikan harga barang yang telah berlaku sejak lebih sedekad lalu. Kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebenarnya banyak berpunca daripada kenaikan mendadak harga barang sehingga BN disamakan dengan jolokan ‘Barang Naik’.

“Namun, selama lebih sedekad, pendekatan UMNO dan BN (yang menjadi kerajaan sepanjang 2008 hingga 2022 kecuali 2018 ke 2020) tetap sama, apabila kemarahan rakyat memuncak, ada campur tangan di sana secara tidak terancang yang tidak menyelesaikan masalah punca kepada krisis kenaikan harga barang.

“Masalah-masalah utama rakyat memerlukan pendekatan yang lebih radikal dan futuristik. Negara memerlukan idea-idea untuk dijadikan dasar yang lebih praktikal, berteknologi dan membawa rakyat ke arah masyarakat moden yang tidak bergantung kepada kerajaan semata-mata untuk menyelesaikan masalah,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Jelas Mohd. Rafizi, pihaknya mengakui perkara-perkara melibatkan dasar dan program kerajaan tidaklah menarik seperti polemik politik yang dimainkan oleh segelintir ahli politik. 

Bagaimanapun katanya, adalah menjadi tanggungjawab pimpinan politik untuk mengajak seluruh masyarakat menumpukan perhatian dan idea kepada perkara tersebut kerana masalah yang berpunca daripada isu-isu itu akan terus membebankan rakyat.

“Oleh itu, saya mengajak semua rakyat Malaysia yang mempunyai idea dan kepakaran dalam bidang-bidang ini untuk tampil menyumbangkan idea untuk membina kerangka dasar yang kami boleh bawa kepada rakyat untuk dipertimbangkan,” jelasnya. 

Beliau menambah, usaha tersebut akan melibatkan empat proses yang membabitkan saringan sukarelawan yang menawarkan untuk menyertai kumpulan dasar bagi setiap isu dan agihan sukarelawan mengikut kumpulan masing-masing.

Selain itu katanya, ia juga melibatkan proses membangunkan dasar dan program khusus, termasuk menganggarkan kos pelaksanaan serta pindaan kepada akta dan peraturan sedia ada untuk melancarkan pelaksanaan serta sesi pembentangan untuk menjelaskan idea kepada orang ramai.

“Satu bengkel utama yang mengumpulkan semua tenaga pakar yang tampil akan dianjurkan dalam tempoh dua minggu dari sekarang.

“Setakat pendaftaran dibuka 12 jam lalu, lebih 100 tenaga profesional pelbagai bidang telah mendaftar. Saya yakin gerakan Ayuh Malaysia akan dapat mengumpulkan lebih 500 tenaga profesional dalam masa terdekat bagi tujuan ini.

“Selain dari kempen politik biasa, kita juga wajar keluar daripada kepompong polemik politik yang dimainkan UMNO dan BN dalam usaha kita meyakinkan rakyat.

“Bagi rakyat biasa yang cintakan kemajuan dan kemakmuran negara yang adil, kita juga bertanggungjawab menyumbang idea dan kehendak kita ke arah Malaysia yang kita ingini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya