SEREMBAN: Pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan akan mengadakan perbincangan bagi meneliti keperluan untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan bersekali dengan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perbincangan tersebut diadakannya bersama pengerusi-pengerusi gabungan parti itu di peringkat negeri.
“PRU15 semua beranggapan paling cepat, dua bulan dari sekarang atau awal tahun hadapan, bergantung kepada Perdana Menteri.
“Tetapi kami di peringkat negeri, saya akan mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan di dalam PH sama ada mahu ikut atau tidak (bubar DUN). Kemudian akan bawa kepada Majlis Presiden PH untuk berikan pandangan saya,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Baru-baru ini, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, PH mempertimbang membubarkan tiga DUN di bawah pentadbirannya lebih awal bagi membolehkan pilihan raya dijalankan serentak dengan negeri-negeri lain.
Fahmi berkata, pihaknya sudah bersiap sedia ke arah itu namun belum menerima maklumat terkini daripada DUN mengenai perkara tersebut.
Sebelum ini, Aminuddin yang juga Menteri Besar dilaporkan berkata, kerajaan PH Negeri Sembilan bersedia untuk pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRU15 jika Parlimen dibubarkan selepas bulan Oktober depan seperti diramalkan beberapa pihak. – UTUSAN