PRU15: MIC tidak mahu terlalu bergantung

PRU15: MIC tidak mahu terlalu bergantung

S.A VIGNESWARAN (kiri) bersalaman dengan Azlan Man (dua dari kiri) ketika Konvensyen MIC ke-75 dan ke-76 di Kangar, Perlis, hari ini. - FOTO/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Tidak mahu terlalu bergantung kepada jentera rakan komponen dalam Barisan Nasional (BN), MIC akan menggerakkan sendiri keupayaan jentera parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata, kekalahan BN pada PRU14 membuka mata kepada kepemimpinan parti utama masyarakat India itu supaya lebih agresif dan berdikari.

Katanya, jika sebelum ini, MIC banyak bergantung kepada jentera BN terutamanya UMNO, kini parti itu menggerakkan seluruh kekuatannya merangka strategi bagi membantu BN kembali berkuasa.

“Apabila BN kalah dalam PRU14, ia memberi pengajaran kepada kita agar melihat dengan lebih teliti di mana kelemahan yang perlu dibaiki terutama dalam parti-parti komponen BN seperti MIC.

“Jadi ada hikmahnya kekalahan dahulu yang membuatkan MIC kini lebih sistematik dan kita belajar dengan UMNO untuk bergerak dengan lebih teratur,” katanya ketika ditemui pemberita pada Konvensyen MIC peringkat negeri Perlis ke-75 dan ke-76 di salah sebuah hotel, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Tambah Vigneswaran, usaha parti itu dilihat mula membuahkan hasil apabila peratusan kaum India yang keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor menunjukkan peningkatan lebih 25 peratus.

Mengulas lanjut mengenai pembahagian kerusi pada PRU-15, Vigneswaran berkata, perkara tersebut akan diputuskan dalam mesyuarat BN tidak lama lagi.

Katanya, fokus utama parti itu adalah memastikan sebanyak mungkin undi kaum India berpihak kepada BN bagi memastikan gabungan itu terus memerintah kerajaan pusat.

“Kerusi-kerusi tradisi MIC pun telah banyak bertukar dalam pilihan raya lalu, jadi apa yang kita fokuskan adalah kemenangan bukan soal kerusi,” katanya.

Ketika ditanya mengenai permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) sebagai komponen BN, Vigneswaran berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada mesyuarat Majlis Tertinggi BN.

“Saya tidak pasti sama ada agenda itu ada dimasukkan dalam mesyuarat yang akan diadakan pada Isnin ini.

“Tidak adil untuk berkata terima atau tidak kemasukkan PBM sebagai komponen BN kerana keputusan penerimaan tersebut bergantung kepada konsensus,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN