SHAH ALAM: PKR yakin jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan hujung tahun ini atau seawal Oktober memberi kelebihan kepada parti untuk memasuki gelanggang ‘peperangan tersebut’.
Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PKR akan memulakan gerak kerja memasuki pilihan raya pada September ini dan yakin jentera parti siap siaga sepenuhnya menjelang Oktober.
“Sememangnya sekarang kita sudah pun bergerak ke arah pilihan raya, sementara Pengarah Pilihan Raya PKR, Rafizi Ramli sedang merangka strategi dan bulan Oktober nanti jentera kita sudah bersedia,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan amanat pada Konvensyen Pilihan Raya PKR 2022, hari ini.
Beliau ketika berucap dalam konvensyen tersebut menyentuh tentang kemaslahatan rakyat dan penyalahgunaan kuasa yang harus diperjuangkan PKR untuk meningkatkan keyakinan pengundi kepada mereka.
Menurut Ketua Pembangkang itu, tidak guna negara mempunyai pembangunan gergasi serta menempa pencapaian dan nama yang baik, namun masalah seperti kenaikan harga barang dan pendapatan rakyat masih melarat.
“Pilihan raya buktikan negara ini memerlukan rakyat dan pimpinan yang mahu membela nasib mereka bukan mengisi tembolok pemimpin yang berkuasa. Kepemimpinan bertangggunjawab, bukan keistimewaan.
“Kita tanya orang yang berbicara tentang nasib orang Melayu, 60 tahun berkuasa, mana tanah rizab Melayu, apa jadi kepada Felda, kontrak, veteran (tentera), anak muda , ekonomi gig. Majoriti Melayu tetapi?” soalnya.
Dalam pada itu, beliau menyentuh isu rasuah yang berlaku tanpa mengira agensi dan kementerian dalam kerajaan sehingga menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap orang politik.
“Sebut sahaja agensi, kementerian, TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia), TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia), pertanian, baja malah kesihatan dalam keadaan Covid-19, semuanya terpalit kerana inginkan habuan.
“Keadaan begitu berkecamuk, rakyat hilang keyakinan, kepada sistem politik dan orang-orang politik. Kalau kita tidak waspada akan terpalit dengan penyakit sama. Sebab itu peringatan niat (matlamat murni) itu tidak boleh dikesampingkan,” tegasnya. – UTUSAN