PRU15 bukan tahun ini - Tun M

PRU15 bukan tahun ini – Tun M

DR. MAHATHIR Mohamad dalam sidang akhbar Himpunan Nasional Berjasa 2022 di Kuala Lumpur. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad menjangkakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak diadakan pada tahun ini walaupun terdapat pelbagai desakan agar Parlimen dibubarkan seawal mungkin.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berpendapat, kerajaan sedia ada ketika ini juga belum bersedia dan masih tercari-cari ‘slot’ yang sesuai untuk mereka diterima rakyat bagi membolehkan menang selesa.

“Saya percaya (PRU15) bukan sebelum pembentangan Bajet dan secara peribadi saya tidak jangka pada tahun ini tetapi kita tidak tahu kenapa Zahid (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) mahukan pilihan raya tahun ini.

“Mungkin sebab dia berdepan kes perbicaraan mahkamah untuk jenayah yang dia lakukan tetapi, saya fikir Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) tidak berapa setuju sebab jika PRU15 diadakan dia akan hilang jawatan.

“Jika mereka (Barisan Nasional) menang pun, Ismail Sabri tidak akan menjadi Perdana Menteri lagi, jadi dia mungkin seronok menjadi Perdana Menteri sekarang dan mahu kekal selama mungkin memegang jawatan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Himpunan Nasional Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) 2022 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, BN tidak boleh membuat keputusan bersama ketika ini kerana mereka sudah berpecah dan ada pemimpin yang mahu PRU15 dilaksanakan bagi menyelamatkan kedudukan masing-masing.

“Saya fikir mereka sudah berpecah dan gagal capai kata sepakat, mereka juga dalam keadaan tidak yakin dengan perjuangan mereka kerana sudah menyeleweng. Jika kekal perjuangan asal rakyat akan sokong namun, sebaliknya berlaku,” katanya.

Selain itu katanya, GTA telah berjaya menarik sokongan orang Melayu yang berwibawa dan bersih yang mengutamakan agama dan bangsa namun, tidak bermakna golongan bukan Melayu perlu takut dengan gerakan tersebut.

“GTA semakin hari semakin kuat dan saya percaya orang Melayu akan sedar serta memberi sokongan kepada gerakan ini pada PRU15 dan saya telah berjumpa kumpulan Melayu dan mereka sudi beri sokongan.

“Sekarang kita perlu ganti orang (pemimpin) ini. Sebab itu kita tubuh GTA iaitu pergerakan perubahan orang Melayu yang sayangkan bangsa dan agama.

“Kaum lain tidak perlu takut walaupun GTA hanya melibatkan orang Melayu sahaja kerana kita melihat kejayaan gerakan ini akan memberikan khabar gembira kepada bukan Melayu juga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN