KOTA KINABALU: Desakan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan kadar segera tidak sepatutnya timbul kerana PRU tetap akan diadakan apabila penggal Parlimen tamat.
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, PRU-15 akan diadakan selewat-lewatnya tahun depan jadi, tiada beza mengadakan PRU sekarang mahupun awal tahun hadapan.
“Kenapa tidak boleh tunggu sehingga waktu itu, apa masalah pemimpin kita? Bagi saya, ketepikan dahulu ego masing-masing dan beri fokus untuk mentadbir negara dengan baik kerana pilihan raya akan diadakan apabila tiba masanya.
“Lihat apa yang berlaku semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, mereka mendesak mengadakan pilihan raya seolah-olah mahu kiamat. Namun, selepas habis pilihan raya adakah keadaan menjadi lebih baik?
“Adakah keadaan sebelum dan selepas pilihan raya menjadi lebih baik, tidak kan?. Ini kerana pemimpin yang tidak bijaksana ini sentiasa melihat dan menilai kepentingan sendiri.
“Semakin lama semakin terserlah kebodohan pemimpin-pemimpin ini, mereka hanya fokus kepada ketamakan masing-masing,” katanya.
Mengulas tentang hala tuju USNO pada PRU-15, Pandikar Amin berkata, mereka tidak meletakkan sasaran kerusi kerana itu terserah kepada pucuk pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau berkata, USNO sudah menjadi sebahagian daripada GRS maka, mereka tidak mahu mendabik dada untuk menjamin kemenangan mana-mana kerusi.
“Pada PRN Sabah sudah terbukti, kita bertanding lebih 40 kerusi termasuk saya selaku Presiden kalah dan kebanyakan hilang deposit. Jadi, kita serahkan kepada rakan-rakan dalam GRS menilai kemampuan kita.
“Pada masa ini GRS juga sedang mengadakan siri jelajah untuk mendekati penyokong di peringkat akar umbi dan ketua-ketua parti komponen GRS masing-masing akan berucap,” katanya.
Barisan kepimpinan USNO turut diterajui oleh Timbalan Presiden, Matbee @ Matbeh Ismail; Naib-naib Presiden iaitu Datuk Amza@ Hamzah Sundang; Datuk Seri Ismail Idris dan Datuk Edmund J. Doudilim.
Setiausaha Agung ialah Ibrahim Linggam; Bendahari Agung, Adam Cal; dan Ketua Penerangan, Hisham Ampongou Abdullah.-UTUSAN










