Presiden UPKO kecewa mesyuarat jawatankuasa ditangguh lagi

Presiden UPKO kecewa mesyuarat jawatankuasa ditangguh lagi

WILFRED MADIUS TANGAU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyatakan kekecewaan susulan penangguhan mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai hak asasi kebebasan dan hak berperlembagaan dijadualkan diadakan pada hari ini namun, terpaksa ditangguhkan.

Namun, penangguhan itu hanya dimaklumkan melalui kumpulan Whatsapp pada 13 Ogos, iaitu selepas beliau tiba di Kuala Lumpur bagi menghadiri mesyuarat tersebut.

Mesyuarat itu ditangguh atas permintaan pengerusi kerana dua orang saksi yang dijemput untuk memberi keterangan iaitu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan tidak dapat hadir.

“Saya agak kecewa kerana mesyuarat ditunda saat akhir hanya kerana kegagalan menteri-menteri yang dijemput tidak hadir tanpa alasan yang kukuh.

“Sepanjang ingatan saya, sudah lebih tiga kali mesyuarat jawatankuasa ini ditunda atas pelbagai sebab.

“Penangguhan ini menyebabkan laporan daripada jawatankuasa itu tidak dapat dibentangkan di Dewan Rakyat sehingga hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, agenda mesyuarat kali ini adalah untuk meminta kedua-dua menteri memberi penjelasan kenapa pekerja asing yang datang bekerja di Malaysia perlu membuat bayaran kepada ejen sebelum dipertimbangkan masuk ke Malaysia.

Misalnya, pekerja daripada Bangladesh diarah membayar RM25,000 kepada ejen pekerja asing untuk bekerja di Malaysia.

“Saya amat prihatin mengenai dua perkara iaitu masa dan wang dibelanjakan untuk ahli Parlimen yang jauh seperti saya untuk datang ke Kuala Lumpur, tetapi mesyuarat tak jadi.

“Kedua, mesyuarat seperti ini sudah dijadualkan lebih awal iaitu pada 8 Ogos namun, ditangguhkan sekali lagi hanya disebabkan menteri terlibat tidak dapat hadir.

“Menteri berkaitan seharusnya memberi keutamaan untuk menghadiri mesyuarat jawatankuasa ini kerana mereka dijemput oleh institusi tertinggi negara iaitu Dewan Rakyat.

“Malah, agenda serta isu yang ingin dibincangkan pula melibatkan kepentingan awam, rakyat, ekonomi serta pelaburan negara,” katanya.

Jelas beliau, diharap mesyuarat akan datang dapat diteruskan supaya hasil perbincangan serta syor-syor daripada jawatankuasa itu dapat dibentangkan di Parlimen secepat mungkin. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya