Potensi teroka industri halal global - Utusan Malaysia

Potensi teroka industri halal global

Industri halal kini mengalami situasi kekurangan bekalan dalam pasaran global.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

 

INDUSTRI halal dijangka menyumbang 8.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menjana pendapatan eksport RM56 bilion pada 2025 berbanding RM31 bilion pada 2020 seperti dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Namun, industri halal kini mengalami situasi kekurangan bekalan dalam pasaran global. Untuk itu, penggiat halal tempatan perlu mengambil peluang meneroka potensi ke luar negara dan mewujudkan bahagian pasaran lebih besar dalam pasaran halal global.

Bagi menyediakan laluan global itu, Halal Development Corporation Bhd (HDC) menganjurkan forum tahunan Persidangan Perniagaan Halal Sedunia (WHBC) kali pertama di luar Malaysia pada 1 September ini di Pullman Albert Park, Melbourne, Australia.

“Ia merupakan satu platform perbincangan berkaitan isu lazim yang dihadapi industri di samping mempromosikan peluang perniagaan halal dalam kalangan pemain industri,” kata

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, HAIROL ARIFFEIN SAHARI bersama Moderator bagi Sesi Perkhidmatan Kewangan Islam WHBC, IMRAN MUSA di sini baru-baru ini kepada Wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM.

HAIROL ARIFFEIN SAHARI

UTUSAN: Kenapa HDC memilih Australia sebagai lokasi pertama WHBC di luar negara?

HAIROL ARIFFEIN: Malaysia dan Australia merupakan rakan perdagangan dalam industri halal sekian lama terutama menerusi sektor perkhidmatan tenusu dan daging, perhotelan dan industri pembuatan.

HDC bekerjasama dengan Suruhanjaya Perdagangan dan Pelaburan Australia (AUSTRADE) dan Kerajaan Negeri Victoria untuk menganjurkan WHBC Circuit Australia 2022 (WHBCC 2022) di Melbourne pada 1 dan 2 September ini.

Kerjasama ini sekali gus meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai rakan pilihan dalam ekosistem halal global dan mewujudkan peluang komersial lebih besar untuk pihak berkepentingan antara kedua-dua negara dalam ekonomi halal yang semakin berkembang.

Bagaimana pula peluang kepada negara Australia dalam industri halal?

Ini adalah peluang unik kepada industri dan perniagaan Australia untuk mengetahui lebih lanjut tentang peluang kerjasama dengan Malaysia untuk memanfaatkan kedua-dua negara secara lebih meluas dalam ekonomi halal global.

Australia dan Malaysia mempunyai hubungan perdagangan dan pelaburan yang kukuh dibina atas kesefahaman bersama tentang nilai pertumbuhan ekonomi mampan dan pelengkap ekonomi kedua-dua negara. 

Tumpuan untuk membina hubungan lebih erat dalam industri halal dan kerjasama merentas pelbagai sektor semestinya akan membawa hasil positif untuk perniagaan dan industri.

Apakah tumpuan WHBCC 2022 kali ini? 

WHBCC 2022 memberi tumpuan kepada inisiatif perniagaan strategik terdiri daripada tiga tonggak utama iaitu promosi pelaburan, rundingan perdagangan dan tenaga pakar halal berdasarkan terma memorandum persefahaman yang ditandatangani antara HDC dan AUSTRADE pada Februari lalu.

Bertemakan “Peluang Halal dalam Dunia Tanpa Sempadan”, WHBC yang kini memasuki tahun ke-14 penganjuran diadakan secara fizikal sepenuhnya dengan menampilkan pemimpin-pemimpin kerajaan dan wakil kedua-dua negara, kapten industri, ahli perniagaan, komuniti perdagangan dan pemimpin masyarakat dari seluruh dunia untuk membincangkan, mempromosi dan berinteraksi sepanjang persidangan dua hari itu.

Bagaimana perjalanan WHBC berlangsung?

Kami akan membincangkan isu lazim yang dihadapi industri, dengan tujuan mengalakkan penciptaan kekayaan serta mempromosikan peluang perniagaan halal dalam kalangan pemain industri. 

Selain itu, kami akan meneruskan penglibatan kami dengan sesi taklimat meliputi semua bandar utama di seluruh Australia, untuk mewujudkan momentum mengenai potensi lumayan industri halal dan menerangkan peranan utama Malaysia dalam ekosistem industri halal.

WHBCC 2022 merupakan persidangan “Thought Leadership” yang akan menampilkan sejumlah 46 ahli panel dan moderator yang membentangkan enma sesi sampingan mengenai pelbagai subsektor dalam ekonomi halal.

Kebanyakan mereka membincangkan topik-topik yang tertumpu kepada sektor makanan dan minuman, bagaimanapun persidangan ini turut berkongsi maklumat daripada sektor farmaseutikal, kosmetik, rantaian bekalan, perkhidmatan kewangan dan teknologi. 

Apakah topik utama persidangan ini?

Antara topik utama persidangan termasuk isu dan peluang dalam keselamatan makanan; keselamatan dan kelestarian; ekosistem ramuan halal; ketangkasan perniagaan halal melalui pendigitalan; kewangan dan perbankan halal; pelancongan mesra muslim dan rangkaian perdagangan halal.

Enam Sesi sampingan akan merangkumi pembentangan seperti  Salah Tanggapan Mengenai Halal, Pelaburan dalam industri Halal di Malaysia, Peluang untuk Start-up Industri Penjagaan Kesihatan, Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), Sains & Inovasi Halal, dan Media dan Hiburan Halal.

Berapa banyak syarikat akan terlibat dalam persidangan ini?

Terdapat pameran penjenamaan 20 syarikat Malaysia dan Australia yang memberi tumpuan kepada Halal Champions. Antara syarikat yang mengambil bahagian ialah Duopharma Biotech, Ramly Food Marketing, Fraser & Neave Holdings, Malaysia Airlines, Halal International Selangor, Malaysian Palm Oil Council dan Australian Halal Certifier (Islamic Coordinating Council of Victoria), serta perwakilan kerajaan negeri dari Malaysia iaitu  Selangor, Sabah dan Melaka.

IMRAN MUSA

Bagaimana pula pandangan Imran Musa berhubung penganjuran WHBCC 2022?

WHBCC 2022 dilihat sebagai satu platform yang bakal mengangkat kembali ekonomi negara Malaysia pasca pandemik khususnya bagi industri Halal. Usaha murni ini secara tidak langsung mendorong keyakinan komuniti pelabur antarabangsa terhadap prospek pertumbuhan negara yang semakin positif. 

Acara seumpama ini wajar diteruskan di beberapa negara utama seperti Eropah dan Timur Tengah dengan sokongan penuh kerajaan dan badan-badan korporat sebagai satu langkah kerjasama dalam usaha membaik pulih ekonomi negara.

Boleh kongsikan pendapat Imran Musa tentang pendedahan isu integriti halal di Australia? Adakah ini akan menjejaskan penganjuran WHBC di sana?

Dari pengamatan saya, isu integriti halal ini hanya melibatkan satu atau dua badan pensijilan halal di Australia dan bukan melibatkan keseluruhan sistem pensijilan halal yang diguna pakai di negara berkenaan. Oleh itu, bukan semua produk yang diimport dari Australia ke Malaysia terjejas.

Malahan, penganjuran WHBC di Australia satu langkah tepat dan proaktif yang dianjurkan HDC sekali gus menunjukkan kesungguhan HDC dalam memastikan agenda halal negara terus didukung agar terus memberi manfaat kepada pengusaha-pengusaha industri Halal. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.