KOTA BHARU: Penyerang Kelantan Red Warriors FC (KRW FC), Emmanuel Mbarga menyifatkan gelaran penjaring gol terbaik serta anugerah kasut emas Liga A1 Semi Pro umpama rezeki yang datang bergolek dan tidak pernah dijangkakan.
Pemain kelahiran Cameroon itu berkata, gelaran tersebut tidak pernah menjadi matlamat utamanya kerana sejak dari awal, tumpuan hanya untuk melengkapkan misi membantu KRW FC layak ke Liga Super musim depan.
“Saya tidak pernah mengejar gelaran penjaring terbanyak tetapi ia datang kepada saya dengan sendirinya kerana sokongan seluruh pasukan.
“Saya menjaringkan banyak gol kerana mempunyai pasukan yang baik dan rakan sepasukan yang bagus. Jadi saya gembira dan berterima kasih kepada mereka semua termasuk presiden, jurulatih serta kakitangan,” katanya selepas Majlis Makan Malam KRW FC, di sini, kelmarin.
Mbarga memberitahu, anugerah tersebut menjadi lebih manis apabila mengenangkan kesukaran dihadapi pasukan pada permulaan liga sehinggalah berjaya mendaki ke tangga keempat liga pada penghujung musim.
“Ini merupakan musim yang sukar buat kami apabila bermula dengan sangat hambar. Kami bermula dengan prestasi sangat teruk dan perlu blajar untuk melangkah setapak demi setapak.
“Kini kami berjaya melayakkan diri untuk bermain di Liga Super pada musim depan dan saya sangat gembira dengan pencapaian itu,” katanya. – UTUSAN







