Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini mengumumkan prestasi kewangan bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (S1 TK2026), sekali gus membuktikan komitmen berterusan syarikat dalam memperkukuh jaminan tenaga negara, meningkatkan daya tahan grid elektrik serta memastikan manfaat jangka panjang terus dinikmati rakyat dan negara.
Dalam suasana ekonomi global yang lebih kompleks dan peningkatan permintaan tenaga, TNB terus memberi tumpuan kepada usaha memastikan bekalan elektrik negara kekal stabil, menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia serta melaksanakan pelaburan strategik bagi memperkukuh sistem tenaga masa hadapan negara.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, prestasi S1 TK2026 mencerminkan keseimbangan antara kemampanan kewangan dan tanggungjawab syarikat kepada rakyat.
“Fokus kami bukan sekadar memastikan prestasi syarikat kekal stabil, tetapi juga memastikan setiap nilai yang dijana dilaburkan semula untuk memperkukuh jaminan tenaga, meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik dan menyokong kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya.
Membawa Manfaat Nyata Kepada Rakyat
Sepanjang suku pertama tahun ini, TNB telah menyalurkan sebanyak RM31.8 juta bagi pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat seluruh negara, antaranya:
n Sokongan pendidikan (RM17.5 juta): Bantuan pendidikan melalui Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Yayasan Tenaga Nasional (YTN) bagi memperkukuh pembangunan modal insan negara.
n Pembangunan sukan (RM0.4 juta): Manfaat kepada lebih 26,000 atlet dan penggiat sukan termasuk program pembangunan hoki kebangsaan.
n Program bersama sekolah (RM2.9 juta): Program seperti Ceria Ke Sekolah dan Sekolah Angkat yang memberi manfaat kepada lebih 96,000 pelajar.
n Program komuniti dan sokongan (RM8.2 juta): Inisiatif bantuan komuniti secara menyeluruh termasuk bantuan bencana dan Projek Mesra Rakyat yang memberi impak positif kepada lebih 28,000 penerima manfaat.
Selain itu, sebanyak RM4.1 juta zakat wakalah turut disalurkan kepada lebih 27,000 golongan asnaf di seluruh negara.
Memperkukuh Grid Elektrik dan Kerjasama Serantau
Sepanjang suku pertama 2026, TNB terus memperkukuh peranannya dalam menyokong peralihan tenaga Malaysia dengan terus melabur dalam tenaga boleh baharu, penambahbaikan grid elektrik dan fleksibiliti sistem, dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.0 bilion bagi memodenkan grid elektrik negara.
Usaha berterusan ini secara langsung meningkatkan kepuasan pelanggan, seperti yang ditunjukkan melalui prestasi Kumpulan dalam beberapa petunjuk utama:
n Sistem Minit pada tahap 0.00 minit.
n Indeks Tempoh Masa Purata Gangguan Sistem (SAIDI) pada 11.72 minit.
Pada masa sama, TNB turut memperkukuh kerjasama tenaga serantau menerusi pemeteraian Fasa 2 Energy Wheeling Agreement bersama Electricite Du Laos dan Electricity Generating Authority of Thailand pada Januari 2026. Pemeteraian perjanjian ini menjadi satu pencapaian penting dalam perdagangan tenaga serantau, khususnya di bawah Projek Integrasi Tenaga Lao PDR-Thailand-Malaysia-Singapura.
Menyokong Ekonomi Digital dan AI Malaysia
TNB terus memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi digital dan ekonomi berasaskan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia, selaras dengan peningkatan permintaan elektrik yang didorong oleh pengelektrikan industri, bangunan pintar dan mobiliti elektrik. Permintaan elektrik dijangka meningkat antara 4.5% hingga 5.5% tahun ini, mencerminkan pesatnya perkembangan ekonomi dan teknologi negara.
Pertumbuhan pesat pusat data menekankan kepentingan infrastruktur tenaga yang stabil dan mampan, serta mampu menampung permintaan tinggi. Sehingga Mac 2026, TNB membekalkan tenaga kepada 36 pusat data dengan kapasiti bekalan elektrik terancang sekitar 4.5 gigawatt (GW). Sebanyak 23 projek pusat data lagi sedang dibina dengan jumlah permintaan maksimum 3.8GW.
Pada Mac 2026, TNB memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Telekom Malaysia bagi memperkukuh kerjasama dalam solusi tenaga lestari dan infrastruktur digital. Kerjasama strategik kedua-dua pihak akan terus memperkukuh sinergi dalam penyelesaian tenaga lestari, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) yang memberi manfaat secara langsung kepada pengguna.
Perkembangan ini memantapkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau yang semakin kompetitif bagi pelaburan infrastruktur digital dan teknologi.
Melalui penyelesaian tenaga bersepadu serta penambahbaikan grid elektrik secara berterusan, TNB kekal komited menyokong pembangunan infrastruktur masa hadapan yang memenuhi keperluan operasi dan kelestarian penggiat industri di peringkat global dan serantau.

Memastikan Masa Depan Tenaga Negara Kekal Terjamin
Dalam usaha memastikan kestabilan dan jaminan tenaga negara buat jangka panjang, TNB turut memperteguh portfolio penjanaan dan keupayaan pembiayaannya melalui beberapa pencapaian penting:
n Memperoleh projek pembangunan loji jana kuasa Turbin Gas Kitar Padu yang baharu berkapasiti 1.4GW di Paka, Terengganu melalui konsortium antara anak syarikat milik penuh Kumpulan, TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco), dan Aurora Power Generation Sdn. Bhd.
n Mendapat lanjutan operasi bagi tiga loji jana kuasa iaitu Gelugor, Putrajaya dan Tuanku Ja’afar PD1 dengan kapasiti gabungan 1.3GW.
n Menerbitkan sukuk wakalah kelestarian bernilai RM1.5 bilion melalui TNB Genco bagi membiayai projek penjanaan tenaga yang lebih hijau dan bersih.
Langkah ini membuktikan komitmen TNB dalam memastikan peralihan tenaga negara dilaksanakan secara seimbang tanpa menjejaskan jaminan bekalan elektrik.
Prestasi Kukuh dan Prospek Positif TK2026
Bagi tempoh tiga bulan pertama TK2026, TNB mencatatkan pendapatan terkumpul sebanyak RM1.1 bilion, yang disokong oleh pertumbuhan permintaan yang terus kukuh, pelaksanaan operasi yang berdisiplin serta kemajuan berterusan dalam perniagaan Kumpulan. Prestasi ini didorong oleh:
n Peningkatan jualan elektrik terutamanya daripada sektor komersial; dan
n Pelaksanaan Tempoh Kawal Selia ke-4 (RP4) berasaskan tarif yang telah diluluskan.
Unjuran TK2026
Melangkah ke hadapan, TNB kekal optimis terhadap prospek tahun kewangan 2026 dengan sokongan pertumbuhan permintaan elektrik dan pelaburan berterusan dalam infrastruktur tenaga negara.
TNB akan terus fokus kepada usaha-usaha memantapkan operasi teras, mempercepat agenda peralihan tenaga, meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu dan memperkukuh keupayaan grid elektrik. Selaras dengan semangat Ihsan MADANI, TNB kekal komited menyokong keseimbangan tiga aspek utama tenaga negara iaitu jaminan bekalan, kelestarian dan kemampuan kos, bagi memastikan setiap pelaburan terus memenuhi keperluan jangka panjang negara sambil menjaga kepentingan rakyat.
“Keperluan elektrik negara terus berkembang dan TNB akan terus memastikan pertumbuhan dan tanggungjawab dilaksanakan secara seimbang. Kami komited mendukung pembangunan negara sambil memastikan tiada komuniti yang tercicir dalam usaha menuju masa depan tenaga yang lebih selamat dan lestari,” kata Shamsul. – UTUSAN










