Polis rampas dadah RM6.6 juta dalam hutan

Polis rampas dadah RM6.6 juta dalam hutan

MOHD. Yusri Hassan Basri (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di Chenderiang, Tapah, Jumaat lalu dalam sidang akhbar di IPK Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tembelang lima lelaki menjadikan sebuah bangsal di dalam hutan dekat Chenderiang, Tapah sebagai makmal memproses dadah terbongkar apabila mereka diberkas polis, Jumaat lalu.

Serbuan pukul 9.45 pagi itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, serbuan ke atas makmal tersebut membawa kepada penangkapan lima lelaki termasuk dua beradik berusia 29 hingga 33 tahun.

Katanya, sebanyak 110.5 kilogram (kg) dadah disyaki methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM6.62 juta bersama bahan kimia dan peralatan memproses dadah dirampas dalam serbuan itu.

“Ujian saringan air kencing dijalankan ke atas kesemua suspek dan mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine. 

“Semakan rekod kesalahan lampau juga mendapati empat suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu memiliki rekod lampau bersabit kes jenayah termasuk pecah rumah secara berkumpulan,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, kumpulan berkenaan dikesan aktif memproses dan mengedar dadah sejak Jun lalu di mana dadah yang dihasilkan adalah untuk pasaran luar Perak.

Katanya, jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh lebih sejuta penagih dadah.

“Dalam serbuan itu kita turut menyita sebuah kereta jenis Honda City dan Mitsubishi Triton bersama empat utas rantai berwarna keemasan, satu bentuk loket, dua bentuk cincin dan sepasang subang. 

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan yang disiasat di bawah Akta Pelucutan Harta 1988 berjumlah RM161,375,” katanya.

Tambah beliau, kelima-lima suspek direman tujuh hari sejak Sabtu lalu hingga Jumaat ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN