KUALA LUMPUR: Keputusan dan tindakan Pakatan Harapan (PH) menolak kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) secara mentah-mentah menunjukkan seolah-olah pembangkang mahu memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Hal itu menjadi lebih buruk apabila pembangkang dilihat seperti mahu ‘memberi nyawa’ kepada lebih ramai pemimpin BN terutama UMNO, yang sedang berdepan perbicaraan atas pelbagai pertuduhan di mahkamah supaya kekal menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata, ketika PH sudah memutuskan tiada kerjasama antara kedua-dua pakatan, PN masih bersikap terbuka untuk bekerjasama menentang BN.
“Bagaimanapun, apabila Rafizi (Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli) sudah kata seperti ini, secara peribadinya saya berasakan beliau seperti beri nyawa kepada kluster mahkamah.
“Mereka (PH) suka lihat PN berpecah-belah dan keadaan ini lebih mudah untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengiyakan bahawa kononnya BN ada peluang cerah untuk mendapat undi majoriti pada PRU15.
“Maka, bagi saya, Rafizi hanya ‘membantu’ kemenangan BN. Kononnya nampak seperti Rafizi ini mahu menentang BN, tetapi kata-kata dan keputusannya tidak membantu pihak-pihak yang sebenarnya bersama-sama mahu menentang BN seperti kami,” katanya ketika dihubungi semalam.
Semalam, Rafizi ketika menghadiri sebuah program di Negeri Sembilan dilaporkan menolak bulat-bulat hasrat kepemimpinan PN untuk berunding dan bekerjasama dengan pembangkang lain bagi berdepan BN.
Rafizi menegaskan, keputusan untuk tiada kerjasama dengan PN itu telah mencapai titik noktah malah telah disepakati dalam kalangan parti gabungan PH.
Sabtu lalu semasa Konvensyen PN, Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan semua pimpinan parti pembangkang perlu mempertimbang membuka semula pintu rundingan dengan PN, jika masing-masing sepakat bahawa musuh utama dalam PRU-15 adalah BN.
Mengulas lanjut, Muhammad Faiz tidak menafikan penolakan pembangkang bekerjasama dengan PN mewujudkan pertembungan tiga penjuru antara tiga pakatan politik terbesar, sekali gus mengakibatkan tiada mana-mana parti yang mendapat undi majoriti pada pilihan raya.
Beliau bagaimanapun menegaskan, PN tidak terlalu berharap atau mendesak PH bekerjasama menentang BN secara satu lawan satu.
“PN hanya berfikir secara rasional namun tidak terdesak dan terhegeh-hegeh mengajak PH bekerjasama. Tetapi, kalau rakyat cukup menyampah dengan di sebelah PH, manakala BN pula didominasi kluster mahkamah, kemungkinan PN yang akan mendapat manfaatnya (menang PRU15),” katanya. – UTUSAN










