Pesawat terbang rendah, langgar tiang lampu - Utusan Malaysia

Pesawat terbang rendah, langgar tiang lampu

KEADAAN pesawat ringan yang terhempas di Jalan Sultan Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng di Ipoh semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pesawat ringan yang terhempas di Jalan Raja Dr. Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng di sini semalam, dilihat terbang terlalu rendah sebelum melanggar tiang lampu.

Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Wan, 41, berkata, dia terkejut dan panik melihat pesawat itu dalam keadaan sedemikian seolah-olah mahu terhempas.

Malah katanya, enjin pesawat tersebut juga mengeluarkan bunyi yang pelik ketika dilihat sekitar pukul 8 malam.

“Ketika kejadian, saya baru selesai mengisi minyak motosikal di stesen minyak berhampiran dan terkejut melihat sebuah pesawat terbang pada paras yang terlalu rendah.

“Saya segera membuat pusingan U untuk melihat arah pesawat itu pergi dan terkejut apabila pesawat tersebut melanggar tiang lampu berhampiran kunci air sebelum berpusing dan jatuh terjunam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.

Menurut lelaki itu, kejadian berlaku terlalu pantas dan dalam keadaan panik, dia segera menghubungi talian 999 dan pasukan keselamatan untuk bantuan.

Sementara itu, seorang penduduk yang dikenali sebagai Haizad, 22, berkata, dia yang berada di rumah ketika kejadian terkejut apabila mendengar bunyi hentaman kuat dari luar rumah.

Katanya, meskipun kawasan kejadian itu berhampiran dengan akademi penerbangan namun dia sama sekali tidak menyangka bunyi kuat itu datang daripada pesawat yang terhempas.

“Saya fikir mungkin kemalangan biasa sebab rumah ini pun dekat dengan jalan utama, sebab itu saya tidak terus keluar selepas dengar bunyi hentaman itu.

“Saya hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan rakan menerusi WhatsApp. Apabila lihat gambar, baru saya sedar kejadian itu dekat sangat dengan rumah,” katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 8 malam itu, jurulatih penerbangan, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, maut manakala rakannya, Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, parah.

Muhammad Din Fikri yang merupakan ketua jurulatih penerbangan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, pesawat PIPER 28 yang terhempas itu berlepas dari Bats Aviation Sdn. Bhd. (BATS) dekat sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya