Permohonan Najib sekadar pancing maklumat - Utusan Malaysia

Permohonan Najib sekadar pancing maklumat

NAJIB Tun Razak tiba di lobi Istana Kehakiman bagi rayuan akhir membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan akan memutuskan hari ini permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memasukkan bukti baharu antaranya berkaitan hakim bicara kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima hakim menangguhkan pendengaran permohonan tersebut yang bermula semalam selepas membenarkan permohonan peguam Ahli Parlimen Pekan itu, Hisyam Teh Poh Teik.

Hisyam memohon penangguhan tersebut bagi membolehkannya membuat persediaan sebelum membalas hujahan balas pihak pendakwaan.

Sekiranya permohonan tersebut diterima mahkamah, pendengaran rayuan akhir tersebut berkemungkinan ditangguhkan. Jika sebaliknya, Mahkamah Persekutuan meneruskan prosiding pendengaran rayuan itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan adhoc, Datuk V. Sithambaram menghujahkan bahawa permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu itu hanyalah satu samaran bagi membolehkan pihak pembelaan membuat `siasatan’ berhubung konflik kepentingan yang melibatkan hakim bicara, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Kanan adhoc, Datuk V. Sithambaram, bukti baharu atau tambahan yang ingin dimasukkan bukanlah benda baharu kerana pihak pembelaan telah lama memperoleh bukti-bukti berkenaan dan hanya mengemukakannya sekarang.

“Mereka mengemukakannya sekarang kerana kes tidak berpihak kepada mereka. Sekiranya kes berpihak kepada mereka (pembelaan), bukti-bukti tambahan ini tidak akan dikemukakan sebegini,” katanya.

Selain itu, pendakwa raya tersebut menyatakan bukti tambahan yang ingin dimasukkan antara lainnya berkaitan khidmat nasihat yang diberikan oleh Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn. Bhd. (bahagian penyelidikan dan penasihat kewangan Maybank) kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bukti itu juga membabitkan pinjaman RM4.17 bilion oleh Maybank kepada 1MDB dalam projek pengambilalihan pengeluar tenaga bebas (IPP) Tanjong Energy Holdings Sdn. Bhd. dan pinjaman RM140 juta bank berkenaan kepada Putra Perdana Development Berhad.

“Apa yang pelik, notis usul pemohon (Najib) tidak memohon untuk memasukkan keterangan lisan (viva voce) tiga pegawai Maybank yang dinyatakan dalam notis tersebut sebaliknya memohon keterangan yang diberikan kepada tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sewaktu siasatan dijalankan.

“Ini adalah cubaan terakhir pemohon untuk memesongkan perjalanan kes ini. Tidak syak lagi, ini merupakan percubaan Najib untuk memancing maklumat daripada saksi yang dinamakan dan yang tidak dinamakan.

“Sekali lagi, permohonan Najib sebenarnya untuk kes SRC ini dibicarakan semula. Lebih melampau, pemohon memohon agar sabitan dan hukumannya diisytiharkan sebagai terbatal dan tidak sah,” katanya.

Selain itu, lapan dokumen yang dikatakan dihantar ke rumah Najib di Langgak Duta, Kuala Lumpur dalam dua sampul surat tidak bernama adalah bukti dengar cakap (hearsay) dan tidak boleh diterima masuk kerana sumber bukti tersebut tidak diketahui.

Sehubungan itu, pendakwaan memohon agar permohonan untuk memasukkan bukti baharu itu ditolak kerana ia tidak memenuhi keperluan yang diperlukan dan tidak relevan dengan rayuan akhir Najib.

Pada prosiding yang dijalankan pada sebelah pagi, Hisyam menghujahkan wujud bahaya yang nyata kerana terdapat syak wasangka terhadap peranan Hakim Mohd. Nazlan ketika menjawat jawatan di Maybank sebagai kaunsel (general counsel).

Ujarnya, disebabkan Hakim Mohd. Nazlan telah berkhidmat dalam tempoh yang lama di Maybank, maka wujud andaian bahawa beliau tidak boleh bertindak secara objektif.

Hisyam dalam hujahannya turut menyatakan telah berlaku konflik kepentingan terhadap hakim yang kini Hakim Mahkamah Rayuan apabila terlibat dalam proses pembentukan SRC, pinjaman RM4.17 bilion oleh Maybank kepada 1MDB dalam projek pengambilalihan pengeluar tenaga bebas (IPP) Tanjong Energy Holdings Sdn. Bhd. dan pinjaman RM140 juta bank berkenaan kepada Putra Perdana Development Berhad

Penglibatan ini berpotensi menjadikan Hakim Mohd. Nazlan sebagai saksi bukan sahaja dalam kes SRC tetapi juga dalam perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.