BENTONG: Polis Bentong menahan seorang lelaki warga asing berusia 26 tahun berikutan satu kes pergaduhan menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 27 tahun juga seorang warga asing di sebuah kebun sayur di Lebu di sini.
Mangsa merupakan seorang pekerja kebun sayur mengalami cedera parah dalam pergaduhan itu dan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Bentong pada pukul 5.40 pagi, semalam.
Ketua Polis Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, polis menerima panggilan kejadian pergaduhan di kawasan kebun sayur Lebu pada pukul 2.50 pagi.
“Sepasukan anggota polis tiba di tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki warga asing berusia 27 tahun mengalami cedera parah dan dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan kecemasan.
“Polis turut menahan seorang lelaki warga asing berusia 26 tahun di kawasan kejadian serta merampas sebilah pisau berukuran 12 inci dipercayai digunakan dalam pergaduhan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zaiham, mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Bentong pada pukul 5.40 pagi.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk dibedah siasat.
“Suspek berkenaan direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 23 Ogos. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Akta Kanun Keseksaan manakala punca pergaduhan dan kematian belum dapat dikenal pasti,” katanya.
Zaiham berkata, polis masih meneruskan siasatan dan memohon mana-mana saksi yang melihat kejadian tersebut serta mempunyai maklumat diminta tampil membantu.
“Saksi kejadian boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) menerusi talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya. – UTUSAN