TUMPAT: Seorang penyeludup lari lintang-pukang dengan meninggalkan kereta Proton Iswara Aeroback yang mengandungi 900 liter minyak diesel selepas kegiatan haramnya dikesan anggota penguat kuasa, kelmarin.
Bagaimanapun penyeludup itu dapat melarikan diri ke kawasan semak selepas kereta tersebut ditahan di Jalan Kaki Itek Simpangan, di sini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, rampasan itu hasil kerjasama erat antara pihaknya dengan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa dan unit kereta peronda polis (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.
Katanya, bertindak atas maklumat risikan pada pukul 6.30 petang, sepasukan anggota bertugas bertindak mengekori kereta tersebut yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, maklumat tersebut kemudian disalurkan kepada PGA dan MPV IPD Tumpat untuk bantuan lanjut.
“Kereta penyeludup itu ditahan MPV IPD Tumpat dan PGA dalam keadaan tayar hadapan pancit. Hasil pemeriksaan pasukan menemukan 30 tong jerry can mengandungi 900 liter cecair disyaki minyak diesel,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Aswadi memberitahu, nilai rampasan barang kawalan minyak diesel dianggarkan berjumlah RM1,935 dan kenderaan RM8,000.
Katanya, kesemua barangan yang disita itu disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – UTUSAN










