TANGKAK: Polis daerah ini mengesahkan sedang menjalankan siasatan tentang dakwaan kes gangguan seksual dipercayai dilakukan seorang pensyarah terhadap penuntut yang tular dalam aplikasi Twitter, baru-baru ini.
Ketua Polis Tangkak, Suprintenden Mohd. Fadhil Minhat berkata, kertas siasatan sudah dibuka dan semua pihak yang terlibat telah dipanggil untuk memberi keterangan untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Kes tersebut di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya, pada 16 Ogos lalu Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak mengesan hantaran tular dalam aplikasi Twitter mengandungi imej memaparkan laporan polis Tangkak bertarikh 2 Jun 2021 mengenai perbualan telefon berunsur lucah melibatkan seorang penuntut perempuan di sebuah universiti awam di sini.
Semalam, tular dalam Twitter, seorang penuntut perempuan mendakwa dirinya menerima gangguan seksual daripada pensyarahnya.
Mohd. Fadhil meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi tentang kes tersebut. – UTUSAN










