Penjadualan semula hutang PTPTN ringan beban peminjam

Penjadualan semula hutang PTPTN ringan beban peminjam

APLI YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berdepan dengan masalah menjelaskan pinjaman disaran membuat penjadualan semula agar mereka tidak terbeban dengan masalah hutang.

Pengerusi PTPTN, Apli Yusoff berkata, pintu rundingan sentiasa terbuka untuk membincangkan masalah yang dihadapi peminjam kerana PTPTN adalah sangat fleksibel.

Menurutnya, PTPTN memahami kesusahan dihadapi peminjam terutama sepanjang pandemik Covid-19 kerana ada yang dibuang kerja dan terpaksa menggunakan wang simpanan kecemasan untuk meneruskan kehidupan.

“PTPTN sentiasa mengambil berat dan prihatin terhadap para peminjam, yang penting mereka datang ke mana-mana cawangan PTPTN, ceritakan masalah yang sedang dihadapi dan kita buat penstrukturan semula bayaran hutang.

“Antara kaedah penyelesaian yang ada seperti mengurangkan jumlah bayaran bulanan dan memanjangkan tempoh bayaran semula.

“Kemudian, kita bantu juga untuk keluarkan semula nama peminjam yang telah disenaraikan dalam rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) melalui beberapa kaedah penyelesaian yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis makan malam mesra PTPTN bersama pengamal media di Terengganu di sini, semalam.

Apli memberitahu, setakat 31 Julai lalu,  lebih dua juta peminjam atau 81.07 peratus telah membuat bayaran balik pinjaman PTPTN.

Katanya, dalam tempoh sama, jumlah deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang diterima pula adalah sebanyak RM12.65 bilion melibatkan sebanyak 5.49 juta akaun.

Mengulas lanjut, beliau berkata, banyak keistimewaan dan manfaat disediakan kepada pendeposit yang membuat simpanan dalam SSPN seperti pelepasan taksiran cukai ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun dan perlindungan takaful percuma.

“Masih ramai juga yang tidak mengetahui tentang Geran Sepadan sehingga maksimum RM10,000 untuk satu keluarga yang layak melalui simpanan ini, malah kita ada dividen yang kompetitif, dijamin kerajaan dan patuh syariah.

“PTPTN menyeru agar ibu bapa membuat penabungan melalui instrumen simpanan yang diwujudkan oleh PTPTN ini bagi memastikan masa depan anak yang lebih terjamin,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya