KOTA BHARU: Golongan pesara dan penjawat awam di negeri ini yang berusia 40 tahun ke atas menjadi kumpulan paling ramai menjadi mangsa kepada penipuan ‘phone scam’.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, suspek dalam jenayah komersil dapat menyakinkan mangsa sehingga mereka takut dan percaya itu bukan satu penipuan dalam talian.
Katanya, siasatan lanjut mendapati, tiada isu atau unsur pukau dalam jenayah tersebut
“Ia berlaku kerana suspek mampu menyakinkan mangsa sehingga menyebabkan mangsa takut dan sanggup menyerahkan kad bank dan wang.
“Kejadian itu membuktikan bahawa masyarakat belum sedar dengan kes penipuan siber terutama membabitkan ‘phone scam’ yang mencatatkan kes tertinggi iaitu 149 kes dengan kerugian RM4.2 juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff berlata, kes jenayah komersil di Kelantan mencatatkan 601 kes dengan nilai kerugian RM14.1 juta dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 30 Kertas Siasatan Tatatertib (KST) membabitkan salah laku anggota dan pegawai di negeri ini dibuka dalam tempoh lima bulan bermula Januari lalu.
Katanya, jumlah itu mencatatkan peningkatan hampir 100 peratus berbanding 18 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, pada masa sama Kertas Enkuiri Tatatertib (KET) turut melonjak kepada 11 kes berbanding hanya satu kes sepanjang tempoh tersebut pada tahun lalu.
“Berdasarkan data yang dikeluarkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Kontinjen Kelantan ini, kita sedang berdepan peningkatan ketara. Trend ini sangat membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak,” katanya. – UTUSAN









