Penghantar makanan edar 18kg ganja ditahan

Penghantar makanan edar 18kg ganja ditahan

RAZLAN Ab Hamid (tengah) menunjukkan ketulan ganja mampat yang dirampas daripada seorang lelaki pada Khamis lalu dalam sidang akhbar di IPD Taiping hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Seorang penghantar makanan direman seminggu setelah polis menemukan 18 kilogram ganja dalam kereta yang dipandunya selepas melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan dekat Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Taiping di sini Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlan Ab Hamid berkata, lelaki berusia 37 tahun itu memandu kereta jenis Perodua Alza berasal dari Selangor.

Katanya, suspek ditahan oleh sepasukan anggota polis peronda lebuh raya dari Bahagian Trafik setelah mengejar kereta suspek yang lari dari sekatan jalan raya di Kilometer 212 Lebuh Raya Utara Selatan.

“Hasil pemeriksaan menemukan satu guni plastik berisi 18 ketulan mampat daun ganja kering dengan anggaran berat hampir 18 kilogram beserta wang tunai dengan nilaian semua RM2,119,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini hari ini.

Menurutnya, ketika ditahan suspek dalam perjalanan membawa dadah itu dari Pulau Pinang ke Selangor.

Menurutnya, suspek dipercayai aktif mengedar dadah sejak Julai 2022 dan ujian air kencing suspek negatif dan selain tidak memiliki rekod kesalahan lampau.

“Suspek menggunakan kereta milik anak saudaranya dan dia juga bekerja sebagai penghantar makanan. Suspek telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak berusia antara 13 dan 6 tahun,” katanya.

Menurutnya, jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 10,000 orang penagih dan nilai rampasan dadah serta wang tunai yang disita adalah RM56,119 .

“Suspek telah direman selama seminggu bermula 26 Ogos hingga 1 September ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 398 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN