ISKANDAR PUTERI: Kementerian Kewangan menafikan spekulasi tentang desakan sesetengah pihak bahawa pembentangan Belanjawan 2023 akan dipercepatkan ke bulan depan.
Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, pembentangan itu akan dibuat mengikut jadual asal kalendar Parlimen, iaitu pada 28 Oktober ini.
“Seperti ditetapkan sebelum ini, Bajet 2023 akan dibentangkan pada 28 Oktober ini seperti yang direkodkan pada takwim Dewan Rakyat.
“Saya tidak menerima sebarang maklumat Bajet 2023 akan disegerakan bulan depan. Apa yang saya tahu, tarikh pembentangan bajet akan kekal seperti dijadualkan,” katanya diminta mengulas khabar angin yang mengatakan pembentangan Belanjawan 2023 aka dipercepatkan.
Beliau ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman kerjasama membangunkan sukan dron antara Futurise Sdn. Bhd. dengan Iskandar Investment Berhad (IIB) di Medini, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah.
Sebelum ini, khabar angin mengatakan terdapat desakan supaya pembentangan Belanjawan 2023 disegerakan pada bulan depan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disegerakan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan menafikan dakwaan dan spekulasi mengatakan Parlimen akan dibubarkan bulan depan.
Pada 7 Ogos lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dilaporkan turut menolak desas desus kononnya pembentangan Belanjawan 2023 akan dipercepatkan dan menyifatkan spekulasi yang tersebar hanyalah spekulasi semata-mata. – UTUSAN










