PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan penetapan harga siling minyak masak tulen kemasan botol lima kilogram (kg) turut ditentukan berdasarkan simulasi harga di peringkat peruncit.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penetapan harga siling juga dibuat berdasarkan aspek kos luar jangka seperti logistik, termasuk situasi dialami segelintir peruncit untuk menghabiskan bekalan minyak masak tulen yang dibeli dengan harga lama.
Beliau berkata, bagi bulan ini, harga maksimum jualan di peringkat peruncit untuk botol 5kg ditetapkan pada paras RM34.70.
“Harga siling minyak masak tulen kemasan botol lima kg akan ditetapkan pada harga RM34.70 di peringkat runcit di seluruh negara meliputi Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan berkuat kuasa 8 Ogos ini.
“Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi (PKJTI), semalam menetapkan mekanisme penetapan harga siling minyak masak botol itu ditentukan secara bulanan untuk seluruh Malaysia bagi satu tan metrik di pasaran dunia pada bulan sebelumnya,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, harga purata bulanan CPO akan ditentukan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi pada setiap 1 hari bulan tiap bulan dan harga baharu akan berkuat kuasa pada setiap 8 hari bulan sehingga 7 hari bulan berikutnya.
Alexander berkata, berdasarkan perangkaan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), harga purata CPO bagi Julai 2022 adalah RM4,603.
Dalam pada itu, Alexander berkata, perintah larangan mengeksport minyak masak tulen tidak bersubsidi dalam semua bentuk kemasan polibeg diwartakan mulai semalam untuk mengelak kekeliruan dalam kalangan pengguna dan pengeksport.
“Ia juga satu tindakan tepat di samping dapat meningkatkan keberkesanan pemantauan bagi mengurangkan ketirisan barangan kawalan serta subsidi,” katanya. –UTUSAN









