Pegawai SPRM tidak siasat sumber pendapatan Syed Saddiq - Utusan Malaysia

Pegawai SPRM tidak siasat sumber pendapatan Syed Saddiq

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan pengubahan wang haram. UTUSAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penyiasat memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau tidak menyiasat sumber pendapatan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika mengendalikan kes pengubahan wang haram yang dihadapi oleh Ahli Parlimen Muar itu.

Asbi Munip, 32, berkata, siasatan beliau hanya tertumpu kepada aktiviti pemindahan wang berjumlah RM100,000 daripada akaun Maybank Syed Saddiq ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya.

Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata, berdasarkan siasatannya, Syed Saddiq telah melakukan dua pemindahan wang masing-masing sebanyak RM50,000 pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Saksi pendakwaan ke-29 itu turut disoal balas oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq berhubung punca pendapatan Ahli Parlimen Muar itu sebelum dilantik sebagai menteri Kabinet.

Saksi menyatakan dia mengetahui Syed Saddiq pernah menerima elaun ketika menjadi tutor sambilan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Asbi bagaimanapun tidak mengingati bahawa Syed Saddiq pernah menjadi pensyarah debat bahasa Inggeris, jurulatih debat UIA serta kolumnis beberapa buah portal.

Gobind: Tuan tak tanya kepada Syed Saddiq, bukankah ini soalan asas bagi kes AMLA?
Asbi: Saya hanya fokus kepada siasatan saya (pemindahan wang).

Gobind: Perkara pokok (dalam siasatan kes AMLA) adalah pendapatannya, kamu tak buat (siasat)?
Asbi: Betul.

Asbi dalam keterangannya turut menyatakan beliau tidak menyiasat jumlah perbelanjaan yang dibiayai dahulu oleh Syed Saddiq untuk program kempen pilihan raya.

Gobind: Dalam pembelaan dibangkitkan bahawa wang RM120,000 adalah untuk gantikan wang yang telah didahulukan untuk kempen yang telah dilaksanakan. Betul atau tidak?
Asbi: Saya hanya menyiasat berhubung wang RM100,000.

Gobind: Untuk kempen pilihan raya sudah tentu calon banyak perbelanjaan, misalnya bayaran staf, poster bunting billboard, sudah tentu banyak perbelanjaan?
Asbi: Tidak tahu.

Terdahulu, Asbi ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd. Radzuan bagaimana beliau memastikan wang RM100,000 daripada akaun Maybank dimasukkan ke dalam akaun ASB Syed Saddiq.

Saksi menjelaskan, terdapat empat transaksi kemasukan wang berjumlah RM120,000 daripada akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) ke dalam akaun Maybank Syed Saddiq yang mana RM100,000 kemudian dipindahkan ke dalam akaun ASB tertuduh.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung 22 Ogos ini.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Syed Saddiq, 29, atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta milik sebuah parti politik.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri.

Perbuatan itu didakwa menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan turut dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya