ALOR GAJAH: Sesi Taklimat Khas Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur Sabtu lalu dilihat tidak memberi sebarang kesan kepada tarikh pembubaran Parlimen, kerana pertimbangan berkenaan perkara itu masih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, hakikatnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tetap akan berlangsung dalam masa terdekat memandangkan tempoh matang penggal Dewan Rakyat bakal tiba menjelang Mei 2023.
Berkenaan khabar angin bahawa Parlimen dibubarkan pada November ini, beliau berkata, semua pihak boleh membuat jangkaan sendiri, namun Barisan Nasional (BN) perlu bersedia bermula sekarang sementara menunggu detik pembubaran berkenaan.
“Soal pilihan raya suka tak suka pilihan raya tetap akan ada sehingga tarikh matang bulan lima tahun hadapan. Jadi kalau diukur dari sekarang, sudah hampir bulan sembilan masanya tak lama.
“Jadi di antara waktu itulah dikira supaya Parlimen boleh dibubarkan pada bila-bila masa. Kiraan dan pertimbangan ini terpulanglah kepada Perdana Menteri untuk memberikan tarikh yang sesuai, tapi tarikhnya daripada sekarang sampai bulan lima.
“Jangkaan dan andaian sesiapa pun boleh buat, tapi akhirnya nanti pembubaran dibuat. Waktu itulah kita akan menguruskan pilihan raya apabila tiba waktu dan masa yang sesuai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis sumbangan petrol percuma di Stesen Minyak Petronas Masjid Tanah di sini semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, laungan ‘bubar’ menjadi tema utama dalam Taklimat Khas Presiden UMNO.
Laungan itu bermula apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) telah memberikan panduan kepada Perdana Menteri bagi menetapkan tarikh pembubaran Parlimen untuk mengadakan PRU15.
Dalam pada itu, mengulas berkenaan kesiap-siagaan BN Melaka, Ab. Rauf berkata, jentera di setiap Parlimen kini hanya menunggu ‘semboyan’ dibunyikan pucuk pimpinan tertinggi parti.
“Akan kita buktikan juga pada pilihan raya umum yang akan datang ini bahawa bersama-sama kita membentuk kestabilan demi sebuah kemakmuran,” katanya. –UTUSAN










